Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jantung Anak Selamat Sampai Kepada Penerima, Ibu Nurul Natasya Luah Rasa Syukur

jantung
Kredit: Facebook IJN

Ibu kepada Allahyarham Nurul Natasya Ahmat Jaaffar, Noreah Omar meluahkan rasa syukur selepas dimaklumkan pembedahan pemindahan jantung yang didermakan anak perempuannya berjaya dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.

Iklan

Menerusi luahan di ruangan komen Facebook IJN, Noreah memaklumkan jantung anaknya sudah selamat dipindahkan kepada penerima dan pembedahan berjalan dengan jayanya.

Kredit: Facebook IJN

“Alhamdulillah, jantung anak ibu, Nurul Natasya Ahmat Jaaffar sudah selamat sampai ke penerima dan berjaya dalam pembedahan.

“Tak kira bangsa apa yang menerimanya, anak kesayangan ibu Asya ikhlas,” luahnya.

Noreah berkata, beliau tidak mempersoalkan latar belakang bangsa penerima kerana anak kesayangannya itu ikhlas mendermakan organ bagi memberikan peluang kepada insan lain untuk meneruskan kehidupan.

Beliau turut mendoakan agar penerima jantung anaknya dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik serta dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.

Dalam masa sama, Noreah mengakui kerinduan terhadap Allahyarham dan menganggap setiap degupan jantung yang kini berada dalam tubuh penerima sebagai pengubat rindu terhadap anak kesayangannya itu.

“Semoga si penerima menjalani kehidupan baik dan sihat. Setiap degupan jantungnya adalah kerinduan ibu. Memelukmu. Allahuakbar,” luahnya.

Terdahulu, Nurul Natasya meninggal dunia pada Ahad lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Kluang pada 19 November.

Allahyarham yang mendermakan jantung, paru paru dan hati turut diberikan penghormatan terakhir menerusi istiadat 'Walk of Honour' oleh warga Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebagai penghargaan terhadap pengorbanan serta sumbangannya kepada insan lain yang memerlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, IJN menerusi satu hantaran memaklumkan kejayaan melaksanakan pembedahan pemindahan jantung terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Sandakan, Sabah.

Menurut IJN, pesakit berkenaan sudah sedar sehari selepas menjalani pembedahan dan menunjukkan perkembangan yang baik.

Katanya, perkembangan itu merupakan petanda memberangsangkan dalam proses pemulihan remaja terbabit.

“Kejayaan ini dapat dicapai hasil daripada dedikasi serta penyelarasan yang lancar oleh pasukan pemindahan pelbagai disiplin IJN, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

“Setinggi tinggi penghargaan kepada penderma organ dan keluarga mereka atas kemurahan hati yang luar biasa, yang memberikan peluang kedua untuk hidup kepada pesakit muda ini.

“Satu anugerah yang berharga, degupan jantung yang baharu dan masa depan yang lebih cerah,” menurut hantaran itu.

Sumber:Facebook
Intipati
  • Noreah Omar bersyukur jantung Allahyarham Nurul Natasya berjaya dipindahkan kepada penerima.
  • IJN memaklumkan penerima remaja dari Sandakan sudah sedar dan menunjukkan perkembangan baik.
  • Nurul Natasya turut mendermakan paru-paru dan hati selepas meninggal akibat kemalangan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan