Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lembaga Peperiksaan Pandang Serius Dakwaan Kebocoran Kertas Pendidikan Moral SPM 2026

lembaga
Lembaga Peperiksaan

Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dakwaan kebocoran kertas peperiksaan Pendidikan Moral Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang tular di media sosial pada 25 November 2026.

Iklan

Menurut LP, hasil semakan dan penelitian mendapati hantaran berkenaan dikesan pada pukul 11.44 pagi, iaitu selepas peperiksaan Pendidikan Moral tamat pada pukul 10.45 pagi.

LP berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh setakat ini, dakwaan tersebut tidak menepati tafsiran kebocoran soalan seperti yang diperuntukkan dalam Dasar Pentaksiran Kebangsaan Edisi Ketiga Tahun 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, LP menjelaskan bahawa kertas peperiksaan Pendidikan Moral merupakan dokumen terperingkat berstatus sulit.

Jelasnya, sebarang tindakan mengambil gambar, menyalin atau menyebarkan kandungan kertas peperiksaan tanpa kebenaran merupakan pelanggaran terhadap tatacara pengendalian dokumen terperingkat.

Perbuatan itu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, LP akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan selain mempergiat pemantauan di pusat peperiksaan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Mana mana pihak yang terkesan dengan hantaran berkenaan turut diminta membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, LP menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan calon, ibu bapa serta masyarakat.

LP berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan integriti, kerahsiaan dan kredibiliti peperiksaan awam terus terpelihara serta kepentingan dan hak setiap calon sentiasa dilindungi.

Sumber:Threads