Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Pertimbang Namakan Jalan Di Ibu Negara A. Samad Said - Fahmi

samad
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menamakan satu daripada jalan di ibu negara dengan nama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Seri A. Samad Said.

Iklan

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan itu dikemukakan oleh tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin sebagai penghormatan terhadap sumbangan Allahyarham dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan.

“Jadi, nanti insya-Allah kita akan teliti beberapa cadangan ini … tetapi, bagi saya yang paling penting ialah kita menghayati karya-karya dan Allahyarham juga seorang pejuang hak rakyat dan hal ini tidak harus kita lupakan,” katanya kepada pemberita di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar, di sini hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata terdapat kewajaran untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah galeri bagi mengenang jasa dan mempamerkan karya-karya tokoh sastera berkenaan.

“Karya-karya agung Allahyarham wajar kita lihat kaedah untuk dipopularkan semula. Karya beliau masih popular, namun perlu diperkenalkan kepada generasi muda, khususnya Gen Z dan Gen Alpha,” katanya.

Fahmi berkata beliau turut berbincang dengan anak Allahyarham tentang keperluan untuk keluarga meneliti aspek hak cipta serta usaha mengekalkan karya penulisan Allahyarham.

A. Samad menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.

Terdahulu, ratusan jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan penggiat seni dan orang ramai menunaikan solat jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang dipimpin oleh Imam 1 masjid berkenaan Muhammad Abid Ayub.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, A. Kadir serta penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir, dan jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini.

-- BERNAMA

Intipati
  • Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menamakan satu jalan di ibu negara sempena A. Samad Said.
  • Fahmi berkata penubuhan galeri juga wajar dipertimbangkan bagi mengenang jasa dan karya Allahyarham.
  • A. Samad meninggal dunia semalam di HKL akibat sakit tua dan menghidap diabetes.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan