Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan agar Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang sedang menerima rawatan di hospital diberikan kesembuhan dengan segera.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau telah menerima perkhabaran mengenai keadaan kesihatan tokoh itu yang turut dikenali sebagai Pak Samad, yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau berkata dirinya bersama isteri dan keluarga mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keafiatan, mengangkat segala kesakitan dan memberikan kesembuhan segera buat Pak Samad.
Menyifatkan Pak Samad sebagai sosok budayan yang amat berjasa dalam dunia kesusasteraan tanah air, Anwar mendoakan agar keluarga tokoh itu diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh ujian tersebut.
“Saya, Azizah dan keluarga mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keafiatan, mengangkat segala kesakitan dan memberikan kesembuhan segera buat Pak Samad, sosok budayawan yang amat berjasa dalam dunia kesusasteraan tanah air,” katanya.
PM Anwar, Wan Azizah Titip Doa Agar A. Samad Said Segera Sembuh
A. Samad Said merupakan Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan berprestij itu pada 1985.
Beliau dikenali menerusi karya agung seperti novel Salina yang diterbitkan pada 1961, selain Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Hujan Pagi.
Sepanjang lebih tujuh dekad berkarya, Pak Samad bukan sahaja menghasilkan novel, malah puisi, cerpen, esei dan drama yang banyak mengangkat persoalan kemanusiaan, kehidupan masyarakat serta realiti sosial.

