KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2026 – Perjalanan seni, pemikiran dan sumbangan Sasterawan Negara Ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, diangkat menerusi dokumentari khas Program Kalam Karyawan 2026 sebagai usaha memelihara legasi tokoh kesusasteraan negara untuk rujukan generasi akan datang.
Majlis Pelancaran dan Tayangan Perdana Program Kalam Karyawan 2026 berlangsung di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah PNM, Anisatul-Wahidah Abdul Wahid.
Menurut Anisatul-Wahidah, usaha mendokumentasikan perjalanan hidup dan sumbangan tokoh sastera penting bagi memastikan warisan intelektual negara terus dipelihara, diakses dan dimanfaatkan sebagai sumber ilmu serta inspirasi merentas generasi.
Majlis itu turut menghimpunkan beberapa tokoh Sasterawan Negara, termasuk Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan Dato’ Dr. Rahman Shaari.

Mengenai Dokumentari
Dokumentari berkenaan mengetengahkan pengalaman kepengarangan, proses kreatif, pemikiran serta sumbangan Anwar dalam memperkaya khazanah kesusasteraan Melayu.
Penerbitan itu bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap ketokohan beliau, malah berfungsi sebagai rakaman sejarah intelektual yang memperlihatkan peranan sasterawan dalam mengungkap persoalan kemanusiaan, mencerminkan realiti masyarakat dan membentuk pemikiran bangsa.
Menerusi inisiatif Kementerian Perpaduan Negara melalui PNM, Program Kalam Karyawan terus menjadi platform untuk mendokumentasikan pemikiran dan karya tokoh sastera tanah air.
Pendekatan dokumentari itu turut membuka peluang kepada generasi muda, pelajar, penyelidik dan pencinta sastera untuk mengenali perjalanan kreatif serta pemikiran sasterawan negara dengan lebih dekat.
Penganjuran tahun ini turut diserikan dengan persembahan monodrama khas Si Lelaki Penyeberang Sempadan yang diadaptasi daripada karya Anwar.
Persembahan oleh Persatuan Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu menampilkan Zaidi Omar sebagai teraju utama bersama penampilan khas Aris Othman.
Program berkenaan menyasarkan sebanyak 1,000 penonton secara fizikal dan dalam talian menerusi YouTube PNM TV Channel bagi memperluas akses masyarakat terhadap karya serta pemikiran tokoh sastera.
PNM berharap usaha memelihara legasi kesusasteraan dapat terus memperkaya khazanah ilmu negara, memperkukuh identiti nasional, menyemai nilai kemanusiaan dan memupuk persefahaman dalam masyarakat berbilang kaum.

