KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said sebagai sahabat setia yang tetap teguh bersama-sama beliau termasuk ketika menempuh detik sukar di Penjara Sungai Buloh apabila tokoh kesusasteraan itu tidak pernah putus mengirimkan naskhah-naskhah karyanya.
Perdana Menteri berkata selain keakraban yang terjalin sejak sekian lama, pemergian tokoh tersohor yang mesra disapa Pak Samad itu adalah kehilangan besar buat negara kerana Allahyarham bukan sekadar pengkarya prolifik malah seorang pendidik bangsa yang gigih mengangkat martabat bahasa serta sastera.
“Dia seorang yang gigih, pencinta seni dan sastera dan juga pendidik bangsa,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Anwar berkata hubungan erat mereka turut dizahirkan melalui utusan surat selain sokongan serta pendirian konsisten Pak Samad sejak 1998 dalam memperjuangkan keadilan dan memartabatkan kesusasteraan Melayu.
Perdana Menteri berkata beliau turut mengagumi disiplin pembacaan luar biasa dimiliki Allahyarham yang sentiasa menelaah pelbagai naskhah sastera dunia, lengkap dengan catatan peribadi pada setiap helaian buku di kediamannya.
“Kalau dari segi pembacaan, saya belum jumpa seorang yang begitu gigih membaca sepertimana A Samad Said… sastera dari satu dunia dia cuba kuasai... saya tidak fikir mudah untuk menggantikan kemahiran penguasaan ilmunya, terutama sastera,” kata beliau.
Anwar berkata Allahyarham berpegang teguh kepada prinsip bahawa kesusasteraan bukanlah satu bidang terpencil atau khusus semata-mata sebaliknya adalah tunjang utama dalam membentuk jati diri dan pembinaan tamadun sesuatu bangsa.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik bagi meraikan serta mengabadikan sumbangan besar Sasterawan Negara berkenaan agar legasi keilmuan dan perjuangannya terus subur dalam kalangan masyarakat.
A Samad Said menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang tadi selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.
-- BERNAMA

