Seorang kanak kanak autisme berusia lapan tahun menarik perhatian selepas didedahkan menjadikan ChatGPT sebagai teman berbual setiap hari.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna dengan nama akaun @bungabyaurora berkata, anak saudaranya sering menggunakan ChatGPT untuk bertanya pelbagai soalan kerana ahli keluarga di rumah tidak selalu dapat memberikan jawapan yang diperlukan.

“Anak buah saya menghidap autisme dan berusia lapan tahun. ChatGPT menjadi teman berbualnya setiap hari.
“Apabila dia mahu berbual dengan orang di rumah, ahli keluarga tidak semuanya dapat membantu menjawab soalan yang ditanyakannya.
“Jadi, apakah soalan yang dia tanya ChatGPT?” kongsi pengguna berkenaan.
Meninjau ruangan komen, perkongsian itu mengundang perhatian pengguna lain yang tertarik dengan soalan serta minat kanak kanak tersebut.
“Awak kena kongsikan lebih banyak. Soalan yang dia tanya sangat menarik. Keupayaan fungsinya juga sangat baik,” kata @_shhhutuppp.
Membalas komen tersebut, @bungabyaurora menjelaskan anak saudaranya kini berusia lapan tahun dan sememangnya meminati matematik sejak kecil.
“Sekarang dia berusia lapan tahun. Memang sejak awal dia sangat meminati matematik,” jelasnya.
Seorang lagi pengguna, @aenyid90, turut berkongsi pengalaman anaknya yang menghidap autisme dan gemar menggunakan aplikasi kecerdasan buatan lain.
“Anak autisme saya suka menggunakan Gemini. Kalau ada animasi robot yang tidak boleh bergerak atau sebagainya, dia akan bertanya di situ,” katanya.
Sementara itu, @aancrewz.finds berseloroh mengenai pengalaman membantu anaknya menyiapkan kerja sekolah.
“Baru sahaja membantu anak Tingkatan Dua menyelesaikan kerja rumah pemfaktoran dan algebra, saya sendiri sudah pening kepala. Terpaksa mengingat kembali apa yang dipelajari dahulu. Hebat adik ini,” selorohnya.
“Pandainya! Saya teringat pula seseorang yang pernah bertanya Gemini tentang nama KFC. Sampai stres dibuatnya. Harap ChatGPT dapat bertahan melayan soalan adik ini,” kata @sue_pbhouse.

