Pengasas bersama dan penyanyi kumpulan muzik terkenal Amerika Syarikat, The Beach Boys, Mike Love, dilaporkan meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Memetik kenyataan jurucakapnya, Love menghembuskan nafas terakhir pada petang Sabtu dengan ditemani ahli keluarganya.
Bagaimanapun, punca kematian penyanyi berkenaan tidak didedahkan.
Love menubuhkan The Beach Boys pada 1961 di California bersama sepupunya, termasuk Brian Wilson, serta seorang rakan.
Vokalnya dapat didengari menerusi beberapa lagu popular kumpulan itu seperti California Girls, Good Vibrations dan I Get Around, yang turut ditulis olehnya.
The Beach Boys merupakan antara kumpulan muzik terbesar dari Amerika Syarikat dan menurut laman web rasmi mereka, telah menjual lebih 100 juta rekod di seluruh dunia.
“Sebagai ikon budaya Amerika, beliau akan dikenang kerana bakat tersendiri serta menjadi sumber inspirasi kepada beberapa generasi pemuzik,” menurut kenyataan yang mengumumkan pemergiannya.
“Kami meraikan sumbangan luar biasanya terhadap muzik Amerika serta kegembiraan yang dirasainya ketika membuat persembahan buat para peminat tersayang,” tambah kenyataan itu.
Persembahan terakhir Love berlangsung pada 10 Oktober lalu di Ryman Auditorium, Nashville, Tennessee.
The Beach Boys mula mencipta nama menerusi album pertama mereka, Surfin' Safari, pada 1962 sebelum menerbitkan album Surfin' USA setahun kemudian.
Bagaimanapun, album studio kesebelas mereka, Pet Sounds, yang diterbitkan pada 1966, secara meluas dianggap sebagai karya terbaik kumpulan berkenaan.
Love kekal sebagai anggota utama The Beach Boys selama beberapa dekad. Namun, perselisihan antara beberapa anggota kumpulan menyebabkan hubungan mereka berpecah.
Meskipun berdepan konflik, Love kembali bergabung dengan Wilson serta anggota asal lain pada 2012 menerusi siri jelajah sempena ulang tahun ke-50 penubuhan kumpulan itu.
The Beach Boys turut mencatat pencapaian apabila dimasukkan ke dalam Rock & Roll Hall of Fame pada 1988 sebelum menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Grammy pada 2001.

