Dua orang wanita di Singapura dilaporkan telah didenda kerana menghina seorang anggota polis bantuan di sebuah pusat membeli-belah.
Menurut Today Online, kedua-dua wanita yang berusia 50 tahun itu masing-masing telah didenda sebanyak S $ 3,000 (RM9,267) pada Rabu setelah mengaku bersalah atas tuduhan mengganggu penjawat awam.
Mereka dipercayai telah melakukan salah laku tersebut di luar Lucky Plaza Mall pada 21 September tahun lalu. Ketika itu, mereka didatangi oleh seorang polis bantuan wanita kerana didapati telah merokok di kawasan itu.
Difahamkan, polis bantuan itu telah dilantik oleh Agensi Alam Sekitar Nasional sebagai pegawai penguat kuasa dan menjalankan tugasnya dengan betul. Dia menghampiri kedua-dua wanita itu dan mengeluarkan saman kerana mereka telah merokok di kawasan larangan.
Ketika itu, salah seorang wanita tersebut melakukan provokasi dan merendah-rendahkan tugas polis bantuan tersebut.
“Berapa gaji kamu? Rasanya seribu sebulan je. Sila cakap dengan orang kaya baik-baik, kamu itu gadis miskin.
“Tutup mulut kamu, kamu ni miskin selamanya tau” kata wanita tersebut.
Tidak cuma itu, kedua-dua wanita itu juga mengatakan bahawa polis bantuan itu merupakan seorang gadis yang gila dan tidak berpengalaman. Menggunakan bahasa Kantonis, mereka juga mengatakan polis tersebut tidak dididik dengan betul.
Salah seorang dari mereka telah mengeluarkan wang kertas sebanyak S $ 1,000 dan melambaikannya di hadapan muka pegawai, sementara seorang lagi berkata kepada pegawai agar diam dan mengambil wang tersebut.
Tindakan mereka itu dipercayai telah dirakam pada kamera yang terdapat pada pakaian polis bantuan itu.
Tidak diwakili oleh peguam, mereka mengatakan kepada hakim bahawa mereka mengalami tekanan pada ketika itu kerana terkejut dengan kehadiran polis bantuan tersebut.
Sumber: Today Online