Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Lelaki Lemas Terjatuh Dalam Tasik Ketika Mendaki

JOHOR BAHRU, 11 Sept (Bernama) — Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika sedang mendaki bukit di sekitar Tasik Hijau, Bukit Lunchu, di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata mayat Mohd Faiz Daniel Maula Mohd Nor, 26, ditemukan di kedalaman 12 meter tasik berkenaan pada pukul 2.45 petang.

Katanya terdahulu 15 anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.22 pagi.

Menurutnya lelaki itu mendaki bukit bersama lima hingga enam rakannya, dan berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, dipercayai terdapat satu batu terjatuh dari atas dan menghempap Mohd Daniel, menyebabkan dia terjatuh ke dalam tasik berkenaan.

“Operasi pencarian dilakukan di sekitar persisiran tasik dan mayat ditemukan di kedalaman 12 meter di tasik itu oleh pasukan khas PPDA kira-kira 30 kaki daripada tempat dia dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 3.30 petang.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story