Siakap Keli

Penglibatan Sekurang-Kurangnya 30 Peratus Wanita Dalam Semua Urusan 20 Cadangan Transformasi Parlimen

Selaras dengan 20 cadangan transformasi parlimen yang dikemukakan pada 11  September 2021 oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Bin Maslan sebagai calon  Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, saya menerima baik dan mengalu-alukan cadangan-cadangan tersebut, dan berharap beliau turut memastikan dasar sekurang kurangnya 30 peratus wanita berada dalam kesemua kumpulan penggubal dasar  termasuk Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas.

Sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sebagai penggubal dasar  dan pembuat keputusan adalah amat wajar memandangkan hala tuju dasar-dasar negara  adalah untuk mengarusperdanakan peranan wanita dalam kesemua urusan urus tadbir  dan juga ke arah merapatkan jurang gender dalam pentadbiran.

Cadangan untuk melantik tiga Timbalan Speaker haruslah merangkumi seorang wanita sebagai Timbalan Speaker, baik dari Sabah atau Sarawak atau Semenanjung.

Wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara dan  peranan 30 peratus wanita ini tidak boleh diabaikan untuk membawa negara ke status  yang kita ingini.

Ahli Parlimen Pontian juga telah mencadangkan dan mendorong penyertaan wanita  dalam Program Belia dan Siswazah. Sasaran 30 peratus wanita dalam program ini mesti  diwajibkan.

Dalam cadangan mengemaskini Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Standing  Orders), adalah perlu supaya Ahli-ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan dan jenaka berunsur seksis serta menyinggung perasaan akan dikenakan pergantungan  segera, denda dan hukuman yang sewajarnya.

Akhir sekali, saya telah memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat bahawa  saya akan mengikuti persidangan parlimen dari rumah kerana tersenarai sebagai kontak  rapat dan perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga hari Ahad.

DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN  

Presiden Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL)

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Putrajaya, 13 September 2021

Siti Fatimah