Siakap Keli

(Video) Detik Cemas Sekumpulan Individu Selamatkan Anjing Dibelit Ular Sawa

Kejadian ular sawa membelit dan membaham mangsa bukan perkara asing dalam ekosistem semulajadi di hutan. Bukan tikus dan katak sahaja yang menjadi santapan reptilia itu, malah haiwan yang lebih besar daripadanya pun menjadi mangsa.

Sebelum ini, tular di media sosial tragedi ngeri seekor ular sawa yang ditemui mati dalam keadaan perutnya meletup gara-gara menelan seekor lembu. Baru-baru ini pula, sekali lagi tular satu video memaparkan kejadian yang hampir serupa.

Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Denish Kaneria di group Nat Geo Wild Animal Fans Club itu, kelihatan seekor anjing berwarna hitam sedang mengerang kesakitan akibat dibelit oleh ular sawa.

Ular sawa berwarna coklat itu membelit anjing berkenaan dengan penuh rakus tanpa memberi peluang kepada mangsanya untuk bergerak walaupun sedikit. Kedua-duanya seakan kaku mengeras sambil bertarung.

Kejadian itu disaksikan oleh beberapa individu, dipercayai mungkin petugas hutan yang berada di situ. Ada antara mereka cuba untuk menghalau ular tersebut dengan menggunakan kayu namun tidak berjaya.

Walaupun terdapat anjing lain yang menyalak ke arahnya (sebagai tanda marah), segala ‘ugutan’ tersebut langsung tidak diendahkan. Ular sawa itu betul-betul sedang menunjukkan kehebatannya sebagai ‘pakar pembelit’ yang sebenar.

Melihat kedegilan ular tersebut, individu-individu berkenaan cuba menggunakan taktik lain. Dua orang daripada mereka menarik ekor ular tersebut dengan kuat agar belitan itu terbuka perlahan-lahan.

Setelah ekor ditarik kuat, barulah belitan ular itu terbuka. Tapi masalah belum selesai kerana mulut ular itu masih ‘melekap’ kuat pada badan anjing. Mereka terpaksa menujahnya dengan sebilah parang panjang.

Selepas berhempas-pulas, akhirnya anjing malang itu berjaya berdiri semula. Itu pun belum selamat sepenuhnya kerana ular tersebut sempat cuba menyambarnya namun gagal setelah dihalang individu berkenaan.

Ular itu nampaknya tewas pada ‘pertarungan’ tersebut. Ia berundur dan menuju ke arah semak sebelum menghilangkan diri. Usaha sekumpulan petugas hutan  menyelamatkan anjing itu akhirnya berjaya.

Menerjah di ruangan komentar, ramai netizen mempersoalkan kenapa mereka biarkan sahaja ular itu terlepas dan tidak membunuhnya. Hal ini kerana dibimbangi ular itu akan mencari mangsa seterusnya.

Namun ada yang optimis, ia sengaja dibiarkan hidup adalah untuk tujuan keseimbangan ekosistem semulajadi. Malah ada yang berpendapat, ular itu hanya mahu makan kerana itulah rantaian makanannya.

**berikut di bawah adalah rakaman penuh situasi mendebarkan ini. Sila klik pada gambar untuk menonton video tersebut.

Sumber: Denish Kaneria melalui Nat Geo Wild Animal Fan Club

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'