Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

(Video) Mungkin Tertekan, ‘Paus Paling Sunyi’ 40 Tahun Terkurung Dirakam Hentak Kepala Di Kaca Tangki

Dipercayai tertekan, seekor ikan paus pembunuh atau turut dikenali sebagai paus orca dilihat menghantukkan kepalanya ke tangki selepas kehilangan lima anaknya, lapor Daily Mail.

Menurut portal itu, rakaman dikongsikan aktivis di MarineLand yang menentang kurungan haiwan itu telah dimuatnaik ke media sosial bagi menggesa pembebasan haiwan tersebut.

“Para aktivis anti pengurungan telah ke MarineLand dan melihat Kiska, paus orca mereka yang terakhir masih hidup sedang menghantuk kepala ke dinding. Sila lihat dan kongsikan,” tulis aktivis berkenaan seperti dipetik Daily Mail.

“Kekejaman ini mesti berakhir #FreeKiska,” tambahnya.

Lapor Daily Mail, Projek Perlindungan Paus itu telah menggambarkan Kiska sebagai paus paling sunyi di dunia. Mamalia berusia 44 tahun itu dipercayai telah dikurung sejak 1979 manakala telah hidup sendirian selama 10 tahun terkini selepas lima anak dan pasangannya mati.

Spesies sosial

“Selama lebih 40 tahun, ia menderita hilang kebebasan, anak-anak dan rakan-rakan,” tulis portal itu memetik kenyataan badan perlindungan Orca di UK.

Sebagai haiwan yang sosial dan hidup berkumpulan di dunia liar, kehilangan rakan-rakan dan anak-anaknya telah menyebabkan ia terasing, tambah badan itu.

“Selama 10 tahun lalu, ia benar-benar terasing daripada spesies sendiri. Ini adalah akibat kesunyian dan pengurungan ke atasnya.”

Salah seorang aktivis kempen pembebasan Kiska mendakwa paus itu telah dibesarkan dalam persekitaran berkenaan yang berdindingkan konkrit sejak empat dekad lalu.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.