Siakap Keli
Kredit gambar: FB Ijad San / Bernama

Terima Rungutan & Aduan Pengunjung Di PD, Anwar Nasihatkan Pengusaha Simpan Dulu Khemah, Pasang Bila Ada Permintaan

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pengusaha-pengusaha khemah sewa di pantai parlimennya untuk menyimpan dulu khemah-khemah mereka.

Anwar menerusi satu kenyataan berkata, hal ini adalah kerana terdapat rungutan daripada pengunjung mengenai perkhidmatan sewa khemah tersebut di pantai peranginan berkenaan.

“Saya menerima rungutan dan aduan para pengunjung mengenai situasi yang dihadapi mereka dan para pengusaha khemah di pantai Port Dickson.

“Perkara ini saya percaya dapat diselesaikan dengan baik dan memberi situasi ‘menang-menang’ kepada kedua-dua pihak.

“Oleh itu, saya nasihatkan pengusaha khemah untuk menyimpan dahulu khemah dan hanya memasangnya jika ada permintaan daripada pengunjung yang berminat dengan perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Ketua Pembangkang itu lagi, para pengunjung dan pengusaha khemah juga harus memastikan pantai tersebut sentiasa bersih.

Mereka juga dinasihatkan untuk terapkan inisiatif pembersihan pantai seperti yang digerakkan pelbagai pihak termasuk Kedutaan Thailand ke Malaysia dan Veritas Eco-Warriors.

“Saya meminta Majlis Perbandaran Port Dickson untuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan adakan operasi jika perlu bagi memastikan pantai dalam keadaan baik dan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diamalkan,” tambahnya.

Mengimbas kembali, tular di media sosial beberapa hari lalu mengenai keluhan sebilangan pengunjung tentang perkhidmatan sewa khemah di sekitar pantai Port Dickson.

Dalam keluhan tersebut, antara rungutan yang disuarakan termasuklah tidak bersetuju dengan sewaan khemah oleh penduduk tempatan kerana mereka sudah membawa khemah sendiri masing-masing dari rumah.

Sumber: FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'