Siakap Keli
Gambar: DPPKM via Bernama

Sik, Kuala Muda Dilanda Banjir Kilat Ekoran Hujan Lebat Lebih Dua Jam

ALOR SETAR, 28 Sept (Bernama) — Hujan lebat selama dua jam bermula lewat petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Sik dan Kuala Muda dinaiki air malam ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah berkata di Sik, tiga kawasan iaitu Kampung Landai, Kampung Pinang dan Kampung Melaka terjejas menyebabkan 30 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gulau yang dibuka pada 10.30 malam.

“Terdapat dua keluarga yang terperangkap di Kampung Landai kerana dinding rumah runtuh. Bagaimanapun mangsa telah berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penduduk kampung,” katanya di sini hari ini.

Di daerah Kuala Muda pula, dua mukim terjejas termasuk Gurun yang melibatkan tiga kawasan iaitu Kampung Cengai Sungai Ibor, Kampung Sungai Bongkok dan Kampung Batu 3.

“Satu lagi mukim yang terkesan ialah Semeling di mana sebanyak 20 rumah terlibat dalam kejadian banjir di Kampung Sungai Tok Pawang,” katanya.

Beliau berkata tiada PPS dibuka setakat ini di daerah Kuala Muda yang menyaksikan keadaan cuaca ketika ini hujan renyai dan paras air yang sebelum ini antara 0.3 hingga 0.5 meter semakin surut.

Banjir dipercayai turut berlaku di daerah Yan melibatkan beberapa kawasan dan video mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, belum ada maklumat mengenainya setakat ini.

— BERNAMA

Eyla Azri