Siakap Keli
Gambar Via Lee Chong Wei

“Sudah Tapau Ayam Penyet…”, Chong Wei ‘Basah’ Ketiak Lagi, Tengok Malaysia Kali Pertama Tewaskan Indonesia Di Piala Sudirman

Skuad badminton negara melakar kejutan apabila berjaya menewaskan Indonesia 3-2 dan mara ke pusingan separuh akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menamatkan kemarau terkandas di suku akhir sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bangga dengan pencapaian pasukan Malaysia, bekas pemain nombor 1 negara, Datuk Lee Chong Wei mengucapkan tahniah dan memuji semangat juang mereka.

“Kali pertama Malaysia menewaskan Indonesia atas pentas Sudirman Cup. Tahniah diucapkan kepada barisan pemain yang tidak mengecewakan walaupun ranking setiap pihak lawan lebih tinggi. Berdebar dan terbasah ketiak Chong Wei menonton,” katanya.

Gambar Via Lee Chong Wei

Tidak cuma itu, beliau juga turut mengulas mengenai prestasi setiap pemain yang telah menunjukkan aksi yang terbaik ketika menentang pihak lawan.

“Zii Jia, Wooi Aik dan Aaron memang power. Tak terkejar minions melawan bergu kita. Zii Jia pula tak kasi chance langsung kepada Ginting, yang tak pernah kalah kepada Zii Jia sebelum ini. Syabas!

“S Kisona pula hampir menewaskan Mariska, walaupun Mariska berada di 30 posisi di atas Kisona dalam ranking,” katanya.

Beliau juga memuji gandingan Thinaah Muralitharan dan Pearly Tan yang hampir menewaskan beregu Indonesia dan mengatakan bahawa mereka akan pergi lebih jauh selepas ini.

Tambahnya, kejayaan pemain beregu campuran, Cheah Yee See dan Hoo Pang Ron sememangnya luar biasa dan menunjukkan Malaysia tidak lemah sehingga menghadiahkan kemenangan ajaib untuk negara.

“Tahniah team, rehatlah. Sudah tapau ayam penyet, malam ini kita kasi tapau bento!,” katanya lagi.

Malaysia akan meneruskan misi dengan menentang Jepun di pusingan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada malam ini.

Sumber: Lee Chong Wei

Sofea

There's always another side to every story