Siakap Keli
Gambar: Mark Zuckerberg & 9to5mac

Gangguan Yang Melumpuhkan Servis Kami Semalam Adalah Paling Teruk Pernah Kami Alami – Zuckerberg

Susulan gangguan terhadap rangkaian media sosial milik Facebook baru-baru ini, CEO Facebook, Mark Zuckerberg akhirnya mengangkat bicara melalui hantaran di Facebooknya hari ini. Menurut Zuckerberg, nota yang sama turut diberikan kepada semua kakitangannya di Facebook.

Dalam hantaran tersebut, Zuckerberg meluahkan rasa kecewa dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada syarikatnya. Laporan yang mengatakan Facebook hanya mementingkan keuntungan semata-mata baginya sangat tidak mencerminkan syarikat mereka.

“SEV yang melumpuhkan servis kami semalam adalah yang paling teruk pernah kami alami.

“Dalam waktu 24 jam ini, kami ambil masa berbincang semula untuk menguatkan lagi sistem kami bagi mengelak kejadian serupa berlaku.

“Apa yang penting dalam waktu ini bukanlah berapa ramai pengguna yang ‘lari’ ke pesaing kami atau berapa banyak wang yang kami rugi.

“Tapi yang lebih penting adalah nasib mereka yang menggunakan servis kami untuk berkomunikasi dengan orang tersayang, meniaga atau menyokong komuniti mereka,” tulis Zuckerberg.

Bukan sebab keuntungan semata

Tambah Zuckerberg, pihak Facebook sangat mementingkan isu keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan mental. Baginya tuduhan tak berasas yang beredar sama sekali tidak menampilkan motif sebenar Facebook. Malah menurut Zukcerberg, ada laporan yang mengatakan Facebook mengabaikan proses penyelidikan.

“Jika kami mengabaikan penyelidikan, mengapa kami tubuhkan program untuk mengkaji kepentingan isu seperti ini?

“Jika kami tak peduli tentang konten-konten yang memudaratkan, kenapa kami perlu ambil ramai pekerja, lebih ramai daripada syarikat yang lebih besar, hanya untuk tangani isu ini?” tegasnya.

Menurut Zuckerberg, motif di sebalik tuduhan-tuduhan ini adalah untuk menunjukkan Facebook mengutamakan keuntungan lebih dari faktor keselamatan dan kesejahteraan pengguna.

Bercakap tentang dakwaan Facebook memuatnaik konten yang membangkit kemarahan orang ramai demi keuntungan, Zuckerberg mengatakan yang ia sama sekali tak logik.

“Kami ‘buat duit’ dengan iklan dan klien juga sering mengingatkan yang mereka tak mahu iklan mereka diletakkan bersama konten berunsur kemarahan atau yang memudaratkan.

“Tak pernah lagi saya jumpa syarikat yang cipta produk mereka untuk buat orang marah atau tertekan,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Walaupun berdepan pelbagai tuduhan akibat sistem yang sempat tergendala, Zuckerberg memaklumkan yang pihak Facebook kini sedang berusaha melakukan yang terbaik bagi menangani isu ini.

Sumber: Mark Zuckerberg

Eyla Azri