Siakap Keli

(Video) Gempa Bumi Kuat Gegar Pakistan, Sekurang-kurangnya 20 Terbunuh & Ratusan Lagi Cedera

Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan telah terbunuh dan lebih 300 cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda wilayah selatan Pakistan dengan kekuatan 5.9 skala Richter, pada awal pagi Khamis.

Menurut US Geological Survey (USGS), gempa itu telah melanda daerah terpencil iaitu di pergunungan Harnai di wilayah Balochistan sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.

USGS pada awalnya mengukur gempa pada skala 5.7 tetapi mengubahnya menjadi 5.9 beberapa jam kemudian. Kedalaman bagi gempa itu adalah dari 20.8 kilometer hingga 9 kilometer, lapor CNN.

Difahamkan, gempa itu telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan pelbagai kerosakan di Harnai.

“Kami sempat keluar menyelamatkan diri bersama anak-anak, syukurlah semua orang di rumah kami selamat. Tetapi, bumbung dan dinding rumah rosak teruk.

“Hampir semua kedai juga runtuh dan di setiap jalan kampung, satu atau dua orang telah ditemui mati atau cedera termasuk kanak-kanak,” kata seorang penduduk di situ, Zafar Khan Tareen.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Ali berkata, anak perempuannya terbunuh ketika sebuah bilik di rumahnya runtuh. Menurutnya, bilik-bilik juga mengalami kerosakan teruk dengan kesan retakan di dinding.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan meluahkan kesedihannya di atas kejadian yang meragut nyawa itu menerusi ciapan di Twitter miliknya.

“Saya telah meminta agar bantuan diberikan dengan segera untuk semua mangsa gempa termasuk melakukan penilaian mengenai kerosakan yang dialami. Takziah diucapkan kepada keluarga yang telah kehilangan orang tersayang,” katanya.

Sumber: CNN

Sofea

There's always another side to every story