Siakap Keli

TERKINI: Konsortium Dari Arab Saudi Sah Beli Newcastle United, Pemiliknya ‘Cuma’ 300 Bilion Pound Lebih Kaya Dari Pemilik Man City

Beberapa portal berita antarabangsa sebentar tadi memaklumkan bahawa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United sah dijual kepada konsortium yang diketuai sebuah syarikat dana pelaburan awam (PIF) berasal dari Arab Saudi.

Menurut laporan Sky Sports News, urusan jual beli berkenaan sudahpun selesai dan keputusan tersebut dimaklumkan sendiri oleh Premier League.

Perkara berkenaan juga turut diumumkan melalui akaun rasmi Twitter Newcastle United.

Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh kelab berkenaan, semua urusan perundangan melibatkan pengambil alihan itu sudah pun diselesaikan pada 7 Oktober.

Kelab juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Premier League diatas bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam melancarkan urusan tersebut.

Pengambil alihan itu juga dikatakan berjaya selepas Premier League berpuas hati bahawa PIF adalah sebuah entiti berasingan dan Arab Saudi tidak akan mempunyai kawalan penuh ke atas perjalanan kelab itu.

PIF dilapor memegang 80 peratus saham dalam konsortium yang baru ditubuhkan untuk tujuan pengambil alihan ini.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan yang dibuat sebelum ini, PIF sebenarnya dikatakan diketuai oleh Putera Mahkota Arab Saudi. Untuk rekod, PIF juga mempunyai dana sebesar 320 bilion pound.

Sebagai perbandingan, Manchester City yang dicanang sebagai kelab yang menjadi kuat kerana ‘oil cash’ dimiliki oleh Sheikh Mansour yang memiliki kekayaan sebesar 23.2 bilion pound.

Pemilik baru kelab berkenaan dikatakan bersedia mengeluarkan dana yang besar bagi merombak skuad Newcastle United untuk mencabar trofi-trofi utama dalam saingan domestik mahupun diperingkat Eropah.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.