Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelakon, Pengarah Antara Tiga Ditahan Disyaki Terlibat Dadah

Amira
Gambar: Bernama

KUALA KANGSAR, 11 Okt (Bernama) — Seorang pelakon lelaki berusia 28 tahun antara tiga lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah menerusi serbuan di sebuah rumah di Kuala Kangsar semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata turut ditahan adalah seorang pengarah drama dan filem serta seorang penolongnya, masing-masing berusia 49 dan 47 tahun.

“Ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar dengan dibantu anggota Balai Polis Kuala Kangsar yang bertindak atas maklumat pada 7.15 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Omar Bakhtiar berkata pemeriksaan di tiga bilik di rumah tersebut menemukan dadah jenis ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM270.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah manakala seorang daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya ketiga-tiga lelaki itu direman dua hari mulai semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: BERNAMA