Siakap Keli
Kredit: The Global Review

Malaysia-Indonesia Pernah ‘Tegang’ Gara-Gara Lagu Rasa Sayang & Rasa Sayange, Ini Kisah Hubungannya Dan Konsep Adik-Beradik

Umum mengetahui bahawa sebelum wujudnya perbatasan antara negara Indonesia dengan Malaysia, dua buah negara ini dahulunya terhimpun di bawah satu wilayah yang dikenali sebagai Nusantara atau Kepulauan Melayu. Kegemilangan Kepulauan Melayu pada masa itu adalah hasil daripada kesepakatan dan toleransi yang baik antara masyarakat. Kesannya boleh dilihat apabila ia membentuk banyak persamaan sehingga detik ini, bahkan tidak keterlaluan dikatakan, Indonesia dan Malaysia ibarat ‘adik-beradik’ yang terlahir daripada satu induk yang sama.

Keakraban perhubungan antara dua buah negara tergambar dalam banyak keadaan. Jika diteliti dari segi dasar luar Malaysia, hubungan antara kedua-dua negara adalah sangat penting kerana selain dari negara bertetangga, Malaysia dan Indonesia mempunyai ikatan persamaan yang jelas dari segi budaya, bangsa dan agama. Ikatan persamaan ini sebagaimana yang diucapkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang pada masa itu merupakan Ketua Menteri Malaysia (Tanah Melayu) di Mesyuarat Menteri-Menteri di Jakarta pada 8 November 1955. Tunku antara lain mengakui;

Bahawasanya tidaklah dapat disangkal oleh dunia akan perhubungan antarabangsa Melayu dengan bangsa Indonesia yang mana pada satu masa kita dikenali sebagai satu bangsa yang mendiami Gugusan Pulau-pulau Melayu…Sungguhpun kita bercerai di satu babak tapi bersatu yang lain iaitu babak kebudayaan (Siri Ucapan-ucapan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, 1985).”

Hubungan Malaysia dengan Indonesia juga dikatakan sebagai satu hubungan tradisi yang diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun bangsa yang sama, persamaan budaya dan agama. Susur galur hubungan antara dua negara ini boleh diteliti sejak perkembangan tamadun Melayu di rantau Asia Tenggara. Dari segi sejarah, tamadun Melayu yang telah wujud di rantau ini merupakan kesinambungan tamadun-tamadun yang telah terbentuk di kedua-dua buah negara. Pendek kata, faktor geo-politik merupakan faktor yang paling penting yang telah mencorakkan perkembangan sejarah peradaban yang selari antara Indonesia dan Malaysia kerana kedudukannya yang berhampiran.

Indonesia merupakan negara pertama yang bukan ahli Komanwel yang mempunyai perwakilan dari Malaysia setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Manakala pada 17 April 1959, Perjanjian Persahabatan Malaysia-Indonesia telah ditandatangani. Indonesia memberikan makna yang besar dalam sejarah diplomatik dua hala Malaysia kerana ia memberikan banyak bantuan terhadap negara ini terutama dalam bidang ekonomi dan sosial. Sehubungan dengan itu, Indonesia disifatkan sebagai “abang besar” kepada Malaysia.

Bertitik-tolak dengan faktor geo-politik ini, timbul beberapa faktor lain yang mendekatkan lagi hubungan antara Indonesia dengan Malaysia. Faktor-faktor tersebut boleh dilihat dari segi bahasa, agama dan banyak lagi. Justeru soal keserumpunan, persamaan budaya dan agama menjadi retorik utama yang menghiasi sejarah hubungan kedua-dua negara.

Kredit: Sinar Harian

Bahasa Melayu Sebagai Alat Penyatuan Malaysia-Indonesia

Perkaitan persamaan Malaysia-Indonesia banyak dikaitkan dengan Bahasa Melayu. Beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern dan Von Heine-Geldern yang mengkaji asal usul bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu mendapati terdapat dua golongan pengembara yang telah sampai ke Kepulauan Melayu. Mereka ialah orang-orang dari Yunnan yang telah mengembara ke daerah-daerah Asia Tenggara sejak 2500 SM. Kumpulan ini merupakan penduduk asal Asia Tenggara dan turut dikenali sebagai Melayu Proto.

Selepas itu kira-kira tahun 1500 SM, satu kumpulan lain telah keluar mengembara ke selatan dan dikenali sebagai Melayu Deutro. Mereka mendiami tanah-tanah subur di kawasan pingir-pingir pantai Asia Tenggara. Kedatangan kumpulan baru ini menyebabkan orang-orang Melayu Proto telah melarikan diri ke kawasan yang lebih terpencil. Kumpulan ini kemudiannya dikenali sebagai puak Jakun, Mah Meri, Jahut, Temuan, Biduanda dan lain-lain. Manakala Melayu Deutro pula merupakan kumpulan yang lebih cekap dalam pelayaran. Mereka telah merantau dan mendiami seluruh Nusantara (Abdullah, 1980).

Proto ini pada mulanya menuturkan satu bahasa yang sama tetapi lama kelamaan bahasa-bahasa yang dipertuturkan oleh mereka berpecah menjadi cabang-cabang bahasa yang berlainan. Ia seperti bahasa Jawa, Dayak, Minangkabau, Batak dan lain-lain. Perbezaan ini wujud natijah dari hubungan mereka yang telah terpisah oleh laut dan gunung-ganang. Namun begitu, walaupun bahasa-bahasa ini mempunyai kelainan namun jika dikaji dari segi susur galurnya ia merupakan bahasa yang berasal dari satu induk (Abdullah, 1980).

Dari segi perkaitan Malaysia dan Indonesia dari segi bahasa, bahasa Melayu merupakan asas kepada kewujudan bahasa Indonesia. Perkara ini dinyatakan oleh Septy Ruzui (1968); It may not be known that Indonesian is diff erent from Malay spoken in the Malay Peninsular, but at the same time, it should be admitted that based on Malay the Indonesians have developed their national languages, the “Bahasa Indonesia”. Menurut Ruzui lagi, bahasa Melayu itu sendiri lahir di Pulau Sumatra. Ia kemudiannya telah berkembang ke Semenanjung Malaysia pada abad ke 13 dan tersebar ke kawasan-kawasan lain di seluruh gugusan pulau-pulau Melayu melalui migrasi penduduk Melayu (Ruzui, 1968).

Bahasa Melayu kemudiannya telah muncul sebagai satu bahasa lingua franca di Kepulauan Melayu selepas abad ke 13 M. Francois Valentyn pula menjelaskan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja digunakan di dalam kerajaan Melayu Melaka di sekitar 1726 tetapi turut dipertuturkan oleh seluruh penduduk Kepulauan Melayu (Abdullah, 1980). Sejarah perkembangan Bahasa Melayu sebagai lingua franca sekali gus menggambarkan jambatan perhubungan identiti bagi Malaysia dan Indonesia. Ia juga merupakan alat penyatuan seluruh umat Nusantara pada zaman tersebut. Bahasa Melayu Kuno yang berakar dari bahasa Austronesia itu, kemudian berkembang menjadi bahasa Melayu modern, lalu menjadi bahasa Indonesia.

Kredit: Ekologi Nusantara Blogger

Wajah Islam Indonesia-Malaysia

Bukan hanya bahasa, agama juga memainkan peranan yang penting dalam menyatukan ummah tidak kira negara. Sebenarnya, Indonesia dan Malaysia mempunyai ciri-ciri sejarah keagamaan yang hampir sama. Ia boleh dilihat dengan jelas apabila majoriti penduduk di kedua-dua negara ini merupakan penganut agama Islam. Bagaimana Islam boleh sampai ke Alam Melayu suatu masa dahulu? Kepulauan atau Alam Melayu atau dikenali juga sebagai Nusantara, menerima kedatangan agama Islam sejak awal abad pertama Hijrah (kurun ketujuh Masehi) melalui peniaga Arab, terutamanya dari Yaman. Orang-orang Yaman telah memeluk agama Islam pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w.) apabila baginda mengirim ‘Ali r.a. dan Mu’adh Ibn Jabal ke sana untuk berdakwah tentang Islam. Di Nusantara, Islam tersebar luas dan sepenuhnya sebelum penghujung abad kelapan Hijrah.

Kredit: Gana Islamika

Perkembangan pendidikan Islam di Malaysia

Malaysia merupakan negara multi agama, di mana para penduduknya menganut agama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Tao dan lain-lain lagi. Menurut kajian, majoriti penduduk Malaysia menganut agama Islam dengan kadar peratusan setinggi 60.4%. Agama Islam juga dijadikan sebagai agama rasmi di negara Malaysia. Persoalannya, bagaimana agama Islam boleh sampai ke Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu? Persoalan ini amat menarik untuk dibincangkan. Tempoh masa antara abad ketujuh dan kelapan Hijrah (kurun ketiga belas dan keempat belas Masehi) merupakan era Islamisasi di rantau ini (Rauf, 2001).

Menurut sejarah di Malaysia, institusi pembelajaran agama telah berkembang daripada sekolah al-Qur’an yang tidak formal. Akhirnya, institusi ini berpusat menjadi sekolah agama tradisional yang dikenali sebagai ‘pondok’ yang mempunyai peranan yang berpengaruh dalam mendidik umat Islam Melayu pada awal abad keempat belas Masehi iaitu sebelum penjajahan dan juga semasa penjajahan (Che Noraini & Langgulung 2008). Pondok-pondok ini dikendalikan oleh individu atau masyarakat. Teras pengajaran berdasarkan pada aliran mazhab Shafi’i dan Asy’ari.
Pondok-pondok ini dikendalikan oleh individu atau masyarakat. Teras pengajaran berdasarkan pada aliran mazhab Shafi’i dan Asy’ari. Kandungan kurikulum pondok-pondok ini tidak seragam, dan tempoh pengajiannya tidak terhad. Kebiasaannya beberapa subjek agama dipelajari seperti al-Quran, alSunnah, tauhid, fekah, sejarah Islam, tasawwuf dan akhlaq. Sesetengah pondok mengajar ilmu dalam bahasa Arab seperti nahu dan sarf, asas aritmetik dan logik (mantiq), tetapi tidak dalam bidang ilmu aqli. Kurikulum pondok ini biasanya berpusatkan mata pelajaran dan metodologi pengajaran lebih cenderung kepada kaedah hafalan (Rahimah, 2019)
Sesetengah orang Melayu Islam menyedari bahawa sistem pondok tidak dapat mendepani cabaran pemodenan disebabkan oleh kurikulum yang terhad kepada subjek agama semata-mata. Bagi mengatasi cabaran tersebut, beberapa pondok telah ditransformasi menjadi institusi madrasah. Beberapa madrasah baharu telah ditubuhkan sebagai alternatif kepada sistem pondok. Pada tahun 1916,
Madrasah al-Mas’hur al-Islamiyyah ditubuhkan oleh al-Hadi di Pulau Pinang. Madrasah ini menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar, menawarkan pengajaran subjek Fekah beserta subjek-subjek sekular. Sistem Madrasah lebih komprehensif
dan kurikulumnya merangkumi banyak subjek seperti bahasa Arab, matematik dan geografi (Che Noraini & Langgulung 2008).
Muhammad Yusof atau yang lebih dikenali sebagai Tok Kenali telah mengasaskan satu lagi sistem madrasah di Kelantan yang dipanggil sebagai Pondok Tok Kenali. Beliau ialah pengikut Shaykh Wan Ahmad al-Fatani yang mendapat inspirasi daripada al-Afghani dalam membebaskan umat Islam daripada penjajahan Barat. Beliau juga dipengaruhi oleh karya al-Ghazali terutamanya Ihyā’
‘Ulum al-Dīn. Subjek-subjek yang diajar ialah bahasa Arab dan nahu, tawhid, Fekah, tafsir dan tasauwuf. Pondok ini menjadi popular dan menerima pelajar-pelajar daripada pelbagai negara. Seterusnya, rangkaiannya tersebar hingga ke Selatan Thailand, Sumatera, Pattani dan Indonesia (Wan Mazwati 2007).
Pondok Tok Kenali – Tok Kenali Blogger

Islam di Indonesia

Di Indonesia terdapat enam agama yang diakui negara dengan pemeluk Islam sebagai majoriti (87,18%), Protestan (6,96%), Katholik ( 2,9%), Hindu (0,72%), Buddha (0,05%), dan Kong Hu Cu (0,13%).  Sepertimana di Malaysia, pendidikan agama Islam di Indonesia diperoleh daripada sekolah al-Qur’an tempatan serta sekolah berasrama Islam yang dipanggil pesantren. Pesantren menawarkan pendidikan untuk pelajar yang disebut santri dan mengamalkan sistem berpusatkan kyai. Kyai merupakan seorang ilmuwan agama tempatan yang terlibat dalam penubuhan dan pengajaran di pesantren serta menjadi pemimpin masyarakat Islam setempat.
Kyai juga adalah seorang individu yang berpegang teguh pada ajaran agama serta berupaya mengeluarkan pendapat dan fatwa dalam hal agama serta mengendalikan majlis-majlis keagamaan. Biasanya pesantren terletak di tanah pertanian wakaf di kawasan luar bandar. Pesantren adalah satu-satunya sistem pendidikan yang terdapat di Jawa sehingga abad ke-20. Sistem ini diwarisi dari zaman agama Hindu dan agama Buddha. Pada awal abad ke-13, sistem ini telah melalui proses Islamisasi dan mula menawarkan kurikulum agama, pembelajaran al-Quran, bahasa Arab dan adat orang Islam dengan tujuan menghasilkan muslim yang baik (Lukens-Bull, 2003) serta melatih kader agamawan.
Akhirnya, sebahagian pesantren terpaksa diubah menjadi madrasah untuk menghadapi cabaran penjajahan Belanda. Selepas kemerdekaan, pemerintah telah melaksanakan sistem pendidikan nasional sebagai dasar pembangunan negara melalui pengajaran bahasa kebangsaan, Pancasila, sains dan matematik. Bagaimanapun, sesetengah orang Islam Indonesia menolak penekanan
terhadap Pancasila menyebabkan mereka lebih memilih pendidikan di pesantren berbanding sekolah umum kebangsaan. Seterusnya, pemerintah Suharto menggesa penerapann kurikulum kebangsaan dan pembangunan modal insan dalam pendidikan Indonesia.
Hal ini menyebabkan sebahagian pesantren mengintegrasikan pendidikan agama dan sekular serta menekankan pembangunan sahsiah dan latihan kemahiran. Mereka berhasrat untuk menghasilkan keperibadian yang mampu menguruskan kehidupan moden dengan mengamalkan nilai-nilai Islam (Lukens-Bull, 2003). Oleh itu, kurikulum pesantren telah berubah mengikut keperluan semasa supaya mampu menghadapi era modenisasi dengan cara Islam. Pada dasarnya, kurikulum agama meliputi pembelajaran al-Quran, bahasa Arab, shari’ah dan tradisi serta sejarah Islam. Selain mengguna pakai kurikulum kebangsaan, sesetengah pesantren juga menawarkan kursus tambahan seperti bahasa Inggris, kemahiran komputer dan latihan kemahiran vokasional seperti kelas pemanduan, membaiki otomobil, jahitan, perusahaan kecil dan kimpalan.
Akibatnya, muncul dua jenis pesantren, iaitu tradisional (salaf) dan moden (khalaf). Pesatren salaf kebiasaanya menggunakan kaedah tradisional dalam pengajaran agama yang dikenali sebagai sorogan dan wetonan; dan ia bergantung kepada ilmuawan agama untuk pembangunan kurikulum. Sementara kaedah pengajaran pesantren khalaf lebih menyerupai sistem nasional yang diamalkan oleh madrasah (Harsanto 2003).
Kredit: Google

Sistem Pendidikan Islam Hampir Sama

Berdasarkan keterangan di atas, dapat disimpulkan bahawa perkembangan pendidikan Islam di Indonesia dan Malaysia boleh dikatakan hampir sama. Bermula daripada pendidikan di masjid-masjid, pondok atau pesantren, kemudian berkembang menjadi madrasah. Terdapat juga tokoh-tokoh Islam yang terkenal di kedua-dua negara.  Pondok dan ajaran Islam di Malaysia juga tersebar di negara Indonesia seperti Pondok Tok Kenali yang sudah mempunyai beberapa rangkaian di Indonesia. Sistem pendidikan yang sama ini mendekatkan lagi hubungan Indonesia dan Malaysia sehingga ia mudah diterima antara dua negara ini.

Konflik Budaya Indonesia-Malaysia

Seperti “adik-beradik” yang sesungguhnya, pasti ada konflik yang berlaku melibatkan beberapa aspek. Perselisihan faham ini merupakan perkara biasa yang terjadi dalam mana-mana negara, tetapi ia perlulah segera diselesaikan sebelum merebak menjadi dendam. Penyelesaian perlulah dilakukan dengan baik dan mengikut jalur ketatanegaraan yang betul supaya tidak ada pihak yang berasa seperti ditindas.

Lagu “Rasa Sayang” vs “Rasa Sayange”, Milik Siapa?

Rasa Sayang ialah sebuah lagu rakyat dalam bahasa Melayu yang popular di Indonesia, Malaysia dan Singapura. “Rasa Sayang” agak mirip dengan Dondang Sayang dan banyak lagi lagu Melayu lain yang digubah dalam bentuk pantun, salah satu bentuk puisi tradisional Melayu. Ada pendapat yang mengatakan lagu ini berasal dari Ambon, Maluku, Indonesia . Bagaimanapun dakwaan ini diragukan kerana bahasa Melayu dan tradisi berbalas pantun bukan berasal dari Maluku, tetapi dari lingkungan budaya Melayu itu sendiri. Lagu ini digunakan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk mempromosikan Malaysia, yang dikeluarkan sekitar bulan Oktober 2007. Menteri Pelancongan Malaysia,Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa lagu Rasa Sayang merupakan lagu kepulauan Nusantara dan milik bersama rumpun Melayu di Indonesia dan Malaysia.

Gabenor Maluku Karel Albert Ralahalu pula berkeras bahawa lagu “Rasa Sayange” adalah milik Indonesia, kerana merupakan lagu rakyat yang telah membudaya di negara itu sejak lama dahulu, dan mendakwa Malaysia mengada-adakan kisah itu. Gabenor berusaha untuk mengumpulkan bukti kukuh bahawa lagu Rasa Sayange merupakan lagu rakyat Maluku Sebaliknya, Menteri Pelancongan Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan bahawa rakyat Indonesia tidak boleh membuktikan bahawa lagu Rasa Sayange merupakan lagu rakyat Indonesia, dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim mencabar mana-mana pihak di Indonesia membuktikan siapa penciptanya dan memberikan buktinya (Utusan Malaysia, 2007).

Bagaimanapun, bukti tersebut akhirnya ditemui. ‘Rasa Sayange’ diketahui dirakam pertama kali di Indonesia oleh PT Lokananta, Solo, Indonesia pada 15 Ogos 1962. Bagaimanapun, Malaysia menyatakan bahawa lagu tersebut telah lebih dulu digunakan dalam filem Melayu Rasa Sayang Eh yang diterbitkan pada tahun 1959, dan juga dinyanyikan dalam satu babak filem Antara Dua Darjat (1960) arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Sukan Badminton dan Bola Sepak

Ketegangan hubungan Indonesia-Malaysia dilihat semakin meruncing apabila isu dalam aktiviti sukan antara negara juga telah dijadikan penyebab pertelingkahan antara dua negara ini. Hakikatnya, isu ketegangan dalam sukan telah berlaku sejak dulu lagi. Provokasi dapat disaksikan dalam perlawanan sukan badminton yang dahulunya diungguli oleh Indonesia. Pada tahun 2004, Indonesia berjaya mengungguli sukan badminton di dunia dimana Taufik Hidayat telah menjuarai acara badminton Sukan Olimpik di Athens (Berita Harian, 2010). Kejayaan tersebut menyebabkan mereka angkuh dan sombong terhadap pesaing terdekat mereka, iaitu Malaysia.

Namun begitu, setelah kebangkitan Malaysia dalam sukan badminton, mereka seolah-olah tidak dapat menerima hakikat yang kedudukan mereka dalam arena sukan badminton dicaras oleh pasukan Malaysia. Penyokong Indonesia cuba untuk menidakkan kredibiliti pemain Malaysia khususnya Dato’ Lee Chong Wei. Oleh yang demikian, setiap kali terdapat perlawanan badminton antara Indonesia dan Malaysia, pasti ada penyokong-penyokong dari kedua-dua buah negara yang bersorak mengejek dan mempersenda antara satu sama lain.

Ketegangan antara Indonesia-Malaysia bertambah teruk apabila prestasi pasukan bola sepak Malaysia melonjak naik. Insiden perbalahan penyokong jelas dilihat semasa sukan SEA 2011 dan perlawanan bola sepak Piala Suzuki AFF. Majoriti penyokong Malaysia menganggap penyokong Indonesia terlampau fanatik dan mempunyai semangat kenegaraan yang jitu sehinggakan mereka sanggup bersesak-sesak untuk menyaksikan perlawan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia. Disebabkan sentimen itu, terdapat dua penyokong Indonesia telah terkorban akibat berasak-asak untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Beberapa penyokong lain juga telah tercedera dan koma berikutan insiden tersebut (Berita Harian, 2011). Provokasi bukan sahaja berlaku dalam kalangan penyokong tetapi juga terhadap pemain Malaysia semasa perlawanan akhir itu juga. Akibatnya, pemain Malaysia terpaksa dibawa ke Stadium Gelora Bong Karno menaiki kereta perisai barracuda (BERNAMA, 2011). Ini membuktikan betapa seriusnya provokasi penyokong Indonesia terutamanya belia Indonesia terhadap pemain bola sepak Malaysia.

Penyokong Indonesia dan Malaysia seharusnya bersatu dan saling menghargai – Siakap Keli

Tarian Pendet

Masalah ini timbul ekoran dari salah faham berikutan kenyataan bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengatakan Tarian Tor Tor dan paluan Gordang Sambilan (sembilan gendang) masyarakat Mandailing akan diiktiraf sebagai satu cabang warisan negara Malaysia. Beliau menyatakan seni tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan masyarakat Mandailing itu akan didaftarkan mengikut Seksyen 67 Akta Warisan Kebangsaan 2005, dengan syarat masyarakat Mandailing mesti mengadakan pertunjukan berkala iaitu tarian dan paluan gendang di pelbagai pertunjukan di khalayak ramai.

Manakala menurut Indonesia tarian tersebut dari segi sejarah adalah hak suku kaum Mandailing dari Sumatera Utara (Hanif, 2012). Isu berkaitan tarian pendet bermula apabila pihak media massa tempatan (Indonesia) membuat tuduhan menyatakan Malaysia sengaja mencuri kebudayaan Indonesia untuk melariskan pelancongan sendiri. Ekoran kontroversi tersebut, berlaku demonstrasi bantahan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta selain panggilan bom palsu dan bendera Jalur Gemilang dibakar. Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan di dalam kenyataan beliau dalam Utusan Malaysia (3 September 2009), di mana klip video 30 saat yang sebahagian kecilnya memaparkan Tarian Pendet diterbitkan oleh Discovery Networks Asia-Pacific dan tidak ada kena mengenai dengan pihak berkuasa di Malaysia.

Penerbit tersebut telah menjelaskan keadaan sebenar dan telah memohon maaf kepada kerajaan Indonesia berhubung perkara tersebut dan penerbit dokumentari berkenaan telah menjelaskan situasi sebenar melalui sepucuk surat kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia, Jero Wacik. Isu berkaitan telah dapat ditangani, bagaimanapun tanggapan para penduduk dan belia masih mempunyai pelbagai andaian berhubung isu berkaitan kebudayaan antara negara ini (Utusan Malaysia, 2009).

Kredit: Google

Perlu Saling Menghargai

Kita perlu sedar hakikat bahawa hubungan antara Indonesia dan Malaysia memang sudah terjalin sejak awal lagi. Faktor geografi, budaya dan agama menyebabkan hubungan ini menjadi semakin erat. Perkongsian budaya yang terjadi adalah disebabkan oleh keserumpunan semasa era Nusantara dahulu. Jadi, bukanlah perkara yang menghairankan apabila terdapat ciri-ciri budaya yang hampir sama antara Indonesia dengan Malaysia. Oleh itu, kita perlu sentiasa menjaga keakraban  ini demi kesejahteraan bersama. Perbincangan ini diakhiri dengan sebuah fakta menarik mengenai kedudukan sebuah rumah yang dikatakan terletak di antara dua negara ini. Dalam video ini, seorang pemuda menunjukkan bahawa ruang tamu rumahnya berada di indonesia manakala dapurnya berada di negera Malaysia.

Rujukan

(1) Malaysia-Indonesia: Pengalaman Hubungan Dua Negara Serumpun , https://core.ac.uk/download/pdf/12118565.pdf

(2) HUBUNGAN INDONESIA-MALAYSIA: Perspektif Budaya dan Keserumpunan Melayu Nusantara, 2015, http://ejournal.unp.ac.id/index.php/tingkap/article/view/6202/4818#

(3) PERBANDINGAN PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DI INDONESIA DAN MALAYSIA, 2015, https://www.researchgate.net/publication/327294318_PERBANDINGAN_PENDIDIKAN_ISLAM_DI_INDONESIA_DAN_MALAYSIA

(4) PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DI NUSANTARA: MALAYSIA DAN INDONESIA,  https://media.neliti.com/media/publications/328452-perkembangan-pendidikan-islam-di-nusanta-87580c8c.pdf

(5) Perspektif Hubungan Malaysia – Indonesia: Satu Tinjauan Dalam Kalangan Kepimpinan Belia Indonesia, 2015,  https://jas.uitm.edu.my/images/2015_DEC/4.pdf

(6) Ruang Tamu Di Indonesia Dapur Di Malaysia, Rumah Unik Ini Terletak Di Sempadan Dua Negara, 2020, https://siakapkeli.my/2020/11/28/video-ruang-tamu-di-indonesia-dapur-di-malaysia-rumah-unik-ini-terletak-di-sempadan-dua-negara/

(7) Bab 1: Pengenalan Kepada Peradaban Melayu, http://studentsrepo.um.edu.my/491/2/BAB1.pdf

Hanis Lyana