Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Bye-Bye Paksu Comel…” Kata-Kata Terakhir Muhammad Armaan Nazeef Kepada Paksunya Buat Ramai Tersentuh

Bye-Bye Paksu Comel
Kredit: Threads @niq.nazmi
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Takdir kadangkala hadir tanpa diduga. Apa yang dirancang sebagai sebuah perjalanan biasa bersama insan tersayang, boleh berubah menjadi kenangan yang tidak pernah terbayangkan.

Lebih memilukan apabila perkara kecil yang berlaku sebelum sesuatu kejadian, seperti ucapan ringkas atau lambaian perpisahan, akhirnya menjadi kenangan yang paling sukar dilupakan.

Begitulah kehidupan, kita tidak pernah tahu bila sesuatu pertemuan atau perpisahan itu menjadi yang terakhir, kerana soal masa dan takdir sememangnya di luar pengetahuan manusia.

Kemalangan maut di LPT arah timur di Lanchang

Kegembiraan menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan bertukar menjadi tragedi apabila tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur di Lanchang.

Mohd Kazwan Mohd Kassim, 59, berkata anaknya, Nur Atiqah Sofiya bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi serta anak pasangan itu, Muhammad Armaan Nazeef, 4, kali pertama menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di lokasi berkenaan, lapor Bernama.

Namun, di sebalik kegembiraan itu, tersimpan satu kenangan terakhir yang kini mengundang sebak.

Seorang pengguna Threads, @niq.nazmi, berkongsi kata-kata terakhir anak saudaranya, Allahyarham Muhammad Armaan Nazeef, sebelum kejadian yang meragut nyawa tiga sekeluarga berkenaan.

“Bye-bye Paksu Comel…”

Hanya beberapa patah perkataan, namun ucapan itu kini meninggalkan kenangan yang cukup mendalam buat keluarga.

Dalam video yang dikongsinya, kelihatan tempat duduk di bahagian belakang yang diduduki Muhammad Armaan sudah disediakan bantal dan selimut untuk dia berehat sepanjang perjalanan.

Segalanya kelihatan seperti perjalanan biasa sebuah keluarga, namun siapa sangka ia menjadi perjalanan terakhir buat Armaan dan keluarga.

Kredit: Threads @niq.nazmi

“Who would've thought that is his last ‘bye-bye, Paksu Comel’,” tulisnya.

Menurut laporan Bernama, jenazah tiga sekeluarga itu dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Kampung Paya Luas di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada lori tangki yang membawa simen hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang bergerak perlahan.

Reaksi netizen

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengakui tidak dapat menahan sebak melihat video tersebut yang memaparkan Muhammad Armaan Nazeef kelihatan begitu ceria sambil menyebut “paksu comel”.

Ucapan yang kedengaran begitu biasa itu kini menjadi kenangan yang cukup bermakna buat keluarga Armaan, malah turut menyentuh hati ramai yang menonton video berkenaan.

Antara komen yang ditinggalkan netizen:

“Armaan. Sebaya dengan anak saya. Allahuakbar, sedihnya hati. Salam takziah,” komen seorang pengguna.

Bye-bye si comel. Mainlah dekat syurga, okay,” komen seorang lagi.

This is so heartbreaking. Namun, kenangan indah seperti video ini akan kekal dalam hati. Salam takziah. Semoga mereka bertiga berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” doa seorang netizen.


Intipati
  • Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di LPT dekat Lanchang.
  • Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun, sempat mengucapkan “Bye-bye Paksu Comel” sebelum kejadian.
  • Polis mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada lori tangki simen yang hilang kawalan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan