Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Astronomy Magazine

Ribut Solar Dijangka Landa Bumi Hari ini, Dilapor Mungkin Beri Kesan Kepada Satelit

Pejabat Meteorologi Britain dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara Amerika Syarikat (NOAA) telah mengeluarkan amaran mengenai fenomena ribut solar yang dijangka akan melanda bumi pada hari ini.

Menurut laporan Sky News, ribut solar itu berlaku disebabkan oleh suar matahari yang dikenali sebagai Coronal Mass Ejection (CME) dan ia telah dikesan sejak Sabtu lalu.

NOAA mengatakan bahawa ribut geomagnetik itu boleh menyebabkan berlakunya turun naik grid kuasa dengan penggera voltan pada garis lintang yang lebih tinggi. Ribut itu dikategorikan sebagai G2 iaitu di tahap sederhana kuat.

“CME akan berlaku sekitar tengah hari (waktu AS) pada 11 Oktober dan akan berlanjutan pada 12 Oktober,” kata NOAA.

Tambah agensi itu lagi, ribut solar itu bagaimanapun tidak cukup kuat sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada infrastruktur elektrik di Bumi tetapi berkemungkinan boleh mengakibatkan kehilangan kuasa elektrik buat sementara waktu, lapor Screen Rant.

Ribut itu dijangka akan memberikan impak kepada sistem satelit, yang mungkin akan mengakibatkan sedikit gangguan kepada perkhidmatan internet dan TV satelit. Tidak cuma itu, fenomena aurora juga kemungkinan besar akan tercetus  di utara England dan Ireland Utara.

Bagaimanapun, ahli astronomi tidak menjangkakan bahawa ribut itu akan menyebabkan gangguan besar seperti kejadian ribut solar Carrington yang pernah melanda Bumi pada tahun 1859.

Difahamkan, Carrington telah menyebabkan berlakunya fenomena aurora yang dapat dilihat di langit. Ia direkodkan berlaku di garis lintang yang lebih dekat dengan khatulistiwa dan digambarkan lebih terang daripada cahaya bulan purnama.

Keadaan itu menyebabkan kegagalan sistem telegraf di seluruh Eropah dan Amerika Utara.

Sumber: Sky News, NOAA

Sofea

There's always another side to every story