Siakap Keli
Gambar: Quds News

Pemuda Palestin Peluk Ayah yang Lumpuh, Ucap Selamat Tinggal Sebelum Ditahan Tentera Israel

Hari ini, sempat beredar di media sosial momen menyedihkan seorang pemuda Palestin memeluk ayahnya yang lumpuh sebelum dibawa tentera Israel. Pemuda tersebut dikatakan mengucapkan selamat tinggal kepada sang ayah sebelum ditahan tentera Israel yang menyerbu kediamannya malam tadi.

Pemuda yang dikenali sebagai Ahed Yousef al-Shomali ini merupakan salah seorang warga Palestin yang ditahan tentera Israel di kota Beit Sahour semalam. Menurut laporan WAFA Agency, seorang lagi warga Palestin turut ditahan bersama Ahed dalam serbuan tentera Israel di wilayah Bethlehem.

Tambah portal tersebut, sejumlah 13 orang warga Palestin dibawa oleh tentera Israel dalam beberapa serbuan di kawasan Tebing Barat dan Jerusalem semalam. Tiga daripada mereka termasuk kanak-kanak berusia 10 dan 13 tahun.

Setakat ini, belum dapat dipastikan punca sebenar kesemua 13 warga Palestin tersebut ditahan. Pun begitu, kekacauan ini telah mengakibatkan kemusnahan harta benda termasuk dua kenderaan peribadi penduduk setempat.

Sumber: WAFA News Agency

Eyla Azri