Seorang anggota tentera Amerika Syarikat (AS) ditahan di United Kingdom (UK) kerana disyaki melakukan kegiatan pengintipan untuk Rusia, menurut polis antikeganasan Britain.
Lelaki berusia 41 tahun yang merupakan anggota kanan tentera itu ditahan berhampiran Gloucester pada Selasa lalu.
Menurut Unit Antikeganasan Polis Metropolitan London, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 1 dan Seksyen 3 Akta Keselamatan Negara 2023 Britain.
Seksyen 1 berkaitan kesalahan mendapatkan atau mendedahkan maklumat yang dilindungi, manakala Seksyen 3 melibatkan tindakan membantu perkhidmatan risikan asing.
Sebagai sebahagian daripada siasatan, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan di dua lokasi berasingan di Gloucestershire.
Difahamkan, anggota tentera berkenaan berpangkalan di Kem Imjin, Innsworth, Gloucestershire yang menempatkan ibu pejabat Kor Tindak Balas Pantas Bersekutu NATO.
Anggota Tentera AS Disyaki Mengintip Untuk Rusia

Kemudahan itu merupakan pangkalan operasi strategik bagi pasukan NATO yang bertanggungjawab melaksanakan misi tindak balas pantas pakatan berkenaan.
Bagaimanapun, Unit Antikeganasan Polis Metropolitan London menegaskan bahawa kes tersebut tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana siasatan lain yang sedang dijalankan.
Sementara itu, Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel menyifatkan penahanan itu sebagai kes penting yang melibatkan dakwaan pengintipan.
“Penahanan penting ini melibatkan dakwaan pengintipan yang amat membimbangkan Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa FBI tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mengkhianati sumpah kepada negara sehingga mengancam keselamatan Amerika Syarikat.
“Selagi siasatan ini masih berjalan, saya mahu menyampaikan mesej jelas bahawa FBI tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang melanggar sumpah kepada Amerika Syarikat.
“Tindakan sedemikian boleh membahayakan keselamatan negara kita serta negara-negara rakan,” tegasnya.
Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Metropolitan London, Vicki Evans pula menyifatkan penahanan tersebut sebagai satu perkembangan penting dalam siasatan berkenaan.

“Dakwaan yang dikemukakan amat serius dan siasatan kami masih berjalan,” katanya.
Lelaki yang identitinya belum didedahkan itu kini ditahan di sebuah balai polis di London sementara siasatan diteruskan.
Penahanan mengikut Akta Keselamatan Negara 2023 membolehkan pihak polis menahan suspek sehingga 14 hari tanpa perlu mendakwanya di mahkamah.
Dalam pada itu, Ketua Pemerintah Komando Risikan Balas Tentera Darat AS, Brigedier Jeneral Sean Stinchon berkata, kes tersebut menjadi peringatan mengenai ancaman daripada individu dalam organisasi sendiri.
“Tindakan yang didakwa dilakukan anggota kanan tentera yang diberikan tanggungjawab mengendalikan maklumat sensitif menjadi peringatan bahawa ancaman dari dalam organisasi sememangnya wujud dan berterusan.
“Saya menggalakkan sesiapa yang menyaksikan sesuatu yang mencurigakan supaya melaporkannya kepada pejabat risikan balas berhampiran,” ujarnya.

