Siakap Keli

Insiden Paip Pecah Semalam, Kerja Pembaikan Kini Capai Tahap 29 Peratus, Air Dijangka Disalur Secara Berperingkat Mulai 6.30 Petang Ini

Susulan gangguan bekalan air tidak berjadual yang berpunca daripada insiden paip pecah di Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang, Air Selangor memaklumkan bahawa pelaksanaan kerja-kerja kecemasan telah mencapai tahap 29% setakat jam 6.00 pagi tadi.

Menerusi kenyataan di Facebook, Air Selangor berkata kerja-kerja pembaikan mengalami kesukaran disebabkan paip pecah terletak berhampiran sungai dan pengukuhan tebing perlu dilaksanakan terlebih dahulu di kawasan tersebut sebelum kerja membaiki paip pecah boleh dilakukan.

“Kerja pembaikan dijangka siap pada jam 6.00 petang hari ini,” kata Air Selangor dalam kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, air dijangka akan mula disalurkan kepada para pengguna pada jam 6.30 petang hari ini secara berperingkat-peringkat ke 145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat, setelah kerja-kerja siap dilaksanakan.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6.00 petang, 20 Oktober 2021.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” kata Air Selangor.

Dalam pada itu, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Semalam, Air Selangor memaklumkan terdapat insiden paip pecah yang berlaku berhampiran Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kg. Chinchang, Salak Tinggi, Sepang.

Oleh itu, Air Selangor telah menutup bekalan air pada jam 9 malam semalam bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan paip berjalan lancar.

Ia menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan 145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Wilayah Kuala Langat.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden ini dari semasa ke semasa. Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Gambar Via Air Selangor

Sumber: Air Selangor

Sofea

There's always another side to every story