Siakap Keli

Ditinggal Terkurung 2 Bulan, Kucing Terdesak Makan Kertas Untuk Bertahan Hidup

ROTTERDAM, BELANDA: Seekor kucing ditemui terselamat selepas hampir dua bulan terkurung di dalam sebuah rumah terbengkalai. Difahamkan, rumah itu telah dikosongkan sejak 1 Julai 2021. Kucing yang kekurangan gizi itu bertahan hidup dengan hanya memakan kepingan kertas.

Finn yang ditemui oleh pemilik baru rumah itu ketika datang untuk memeriksa rumah baharunya. Mereka menemui Finn yang sangat kurus dan kucing berkenaan terus melarikan diri ketika pintu rumah dibuka.

Finn kemudian ditangkap dan dibawa ke doktor haiwan. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa perutnya dipenuhi dengan kertas yang dimakan dipercayai akibat terdesak dan kelaparan.

Menurut Ketua Perlindungan Haiwan Belanda, Dik Nagtegaal, Finn amat kurus ketika ia ditemui di rumah tersebut, namun ia semakin sihat. Berkemungkinan terdapat paip bocor yang membolehkannya untuk minum air. Menurutnya lagi, ia amat menyedihkan dengan apa yang perlu dilalui oleh Finn. Pihak mereka akan mencari seorang pemilik yang sesuai dengannya.

Polis masih mencari pemilik lama Finn, yang akan berdepan dengan tuduhan kekejaman terhadap haiwan. Polis juga tidak dapat memastikan bagaimana kucing itu boleh berada di dalam rumah tersebut dan tidak menolak kemungkinan bahawa ia dibuang oleh pemiliknya tanpa makanan dan minuman.

Sumber: Dutch News

Aireena Marizan