Siakap Keli

Pernah Kerja Cuci Pinggan Hingga Buka Shell Pertama Di India, Ini Kisah Disebalik Nama ‘Pakcik Shell’

Masih adakah rakyat Malaysia yang belum mengetahui kewujudan sebuah syarikat pengeluar minyak, Shell Sdn. Bhd.? Pasti rata-rata mereka sudah mengenali dan menggunakan perkhidmatan syarikat gah itu. Tahukah anda, pengarah syarikat Shell ini bukanlah orang asing mahupun luar negara. Akan tetapi, beliau merupakan anak jati Malaysia yang lahir di Kelantan. Bukan mudah sebenarnya bagi seorang rakyat tempatan untuk mengendalikan sebuah perniagaan yang begitu terkenal hingga ke persada dunia. Justeru itu, topik perbincangan pada kali ini akan membawa para pembaca kepada kisah-kisah di sebalik kejayaan beliau dalam membangunkan perniagaan Shell ini.

Shairan Huzani, Anak Jati Kelantan Yang Cemerlang

Ternyata, pengarah syarikat minyak Shell adalah anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan yang bernama Shairan Huzani Husain. Beliau sebenarnya menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd. Kedua-duanya merupakan syarikat yang bertanggungjawab terhadap perniagaan hiliran (downstream) bagi produk Shell di Malaysia. Beliau mula menjawat jawatan tersebut pada September 2016. Walaupun baru sahaja lima tahun menyandang jawatan tinggi itu, beliau bagaimanapun sudah bekerja dengan Shell sejak tahun 1993 lagi.

Siapa sangka anak kelahiran Kelantan ini sebenarnya mempunyai permulaan hidup yang sangat sederhana tetapi cukup menginspirasikan ramai orang. Shairan Huzani membesar bersama datuknya di Kampung Kedai Buloh yang merupakan sebuah perkampungan nelayan. Lokasi kampung ini sangat unik, di mana ia terletak di kawasan pinggir Sungai Kelantan dan berhampiran dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu.

Datuk beliau merupakan seorang nelayan manakala neneknya bekerja sebagai penjual bunga sanggul. Beliau dibesarkan oleh mereka di perkampungan nelayan itu sehingga berusia enam tahun. Setelah itu, beliau tinggal bersama ibu bapanya dan memulakan persekolahan beliau di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Kota Bharu. Shairan Huzani merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik.

Selepas tamat sekolah rendah, Shairan diterima masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa. Kisah cintanya bermula di situ apabila beliau bertemu dengan seorang wanita yang kini telah sah menjadi isteri tercintanya. Segala usaha dan penat lelah Shairan selama lima tahun di sekolah berasrama penuh itu berbaloi apabila beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level di di Grantham College di United Kingdom. Beliau kemudiannya menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang ekonomi di Leeds University.

Cuci Pinggan, Kerjaya Awal

Menurut Shairan Huzani, beliau terpaksa melakukan kerja sambilan semasa di United Kingdom. Beliau mencari duit poket dengan mencuci pinggan di sebuah restoran. Sungguhpun begitu, beliau mengatakan bahawa pekerjaan tersebut membuatnya berasa syukur dengan apa yang beliau punya. “Bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran di UK mengajar saya erti kemanusiaan dan kehidupan. Setelah tiga bulan membanting keringat di dapur kedai makan itu, Shairan berjaya mengumpulkan wang yang cukup untuk membeli tiket kereta api bagi mengelilingi benua Eropah. “Banyak yang saya lihat dan pelajari dari pengembaraan saya itu,” katanya.

Pada masa yang sama, Shairan sentiasa fokus dalam pelajaran sehinggakan apabila pihak Shell datang menawarkan pakej biasiswa, beliau dengan mudah telah terpilih. Pada tahun 1990, Shairan akhirnya berjaya menamatkan pendidikan  di Leeds University. Namun begitu, beliau tidak terus pulang ke Malaysia sebaliknya bekerja di firma antarabangsa KPMG di Leeds terlebih dahulu. Beliau bekerja pada waktu siang dan pada sebelah malamnya pula, beliau tekun belajar untuk mengambil peperiksaan profesional dari Insitutte of Chartered of Accountant of England and Wales. Kegigihannya terbayar apabila beliau lulus peperiksaan tersebut dan terus bekerja keras untuk membuktikan anak Melayu ini mampu berjaya dari segi profesional.

Perubahan datang mendadak kepada Shairan pada tahun 1993. “Satu hari di dalam tahun 1993, seperti biasa, saya akan terbangun dari tidur tetapi pada hari itu, terus terdetik di hati saya yang England ini terlalu sejuk cuacanya dan saya tiba-tiba terlalu rindukan kampung halaman. Hari itu, saya bertekad untuk berhenti kerja dan balik,” cerita Shairan. Beliau terus memohon untuk berhenti kerja dan pulang ke Malaysia tanpa sebarang perancangan yang kukuh mengenai kerjaya beliau ketika pulang ke tanah air nanti. “Saya memang nekad untuk balik!” ujarnya mengetap gigi. Shairan yakin rezeki sentiasa ada untuk mereka yang berusaha dan setibanya beliau di Malaysia, Shairan memohon sebarang jawatan di syarikat minyak Shell Malaysia. Beliau berjaya menyandang satu jawatan di Shell Chemical, syarikat yang menghasilkan produk ubat nyamuk Shelltox zaman dahulu.

Sejak dari itu, Shairan tidak pernah memandang ke belakang dalam kariernya bersama Shell. Sepanjang kerjaya bersama syarikat Shell, beliau pernah ditugaskan di bahagian Corporate Finance, Forex Trading dan bahagian upstream di Miri. Beliau kemudiannya ditugaskan untuk menjaga stesen-stesen minyak Shell di dalam negara dan antara yang pertama ialah stesen minyak Shell di Glenmarie. Walaupun sudah memegang pelbagai jawatan namun dia menjelaskan bidang retail telah berjaya menarik minatnya selepas pertama kali ditugaskan menjaga stesen minyak Shell di Glenmarie. “Saya pernah mencuci tandas di stesen tersebut pun,” luah Shairan sambil ketawa.

Membangun Syarikat Shell Di India

Royal Dutch Shell yang merupakan syarikat induk Shell pernah memberikannya satu tugas yang berat, iaitu memulakan perniagaan Shell di negara India. Beliau memujuk isteri dan keluarga untuk mengikutnya berhijrah ke India. Beliau menceritakan usaha memujuk isteri dan keluarga dengan menunjukkan gambar-gambar menarik poskad negara tersebut.

“Sampai di lapangan terbang Bangalore, isterinya berkata gambar di dalam poskad tersebut langsung tidak sama dengan keadaan sebenar!” gelak Shairan mengenangkan peristiwa tersebut. Shairan seterusnya menetap di Taj West End Hotel dan membuka sebuah pejabat sementara Shell India di hotel tersebut. “Pejabat pertama Royal Dutch Shell di India ialah sebuah bilik kecil di hotel Taj West End. Saya membeli empat kerusi, satu mesin faks dan meja yang saya pinjam dari hotel,” ujar beliau.

Itulah permulaan Shell di India dan sehingga kini, nama lesen perniagaan Shell di situ masih mempunyai nama beliau. “Bukan mudah untuk membuka syarikat minyak asing di India kerana negara itu mempunyai empat syarikat minyak nasional,” luah Shairan. Selepas empat tahun dan 30 stesen minyak Shell berjaya dibangun di negara itu, Shairan akhirnya pulang ke Malaysia.

Kredit: eWARTA MARA

Kejayaan anak Melayu itu dipandang tinggi oleh Shell induk dan Shairan terus diminta untuk menjaga rangkaian stesen Shell global. Walaupun Shairan ditempatkan di Malaysia, beliau perlu terbang ke serata dunia untuk tugas itu. Disebabkan terlalu sering berjalan ke negara-negara luar, Shairan mampu membuat kupasan imej negara di mata dunia.

Sikap Rendah Hati Punca Rezeki Kian Melonjak

Walaupun memegang jawatan tertinggi dalam sesebuah syarikat, perkara tersebut tidak menghalang ‘orang kuat’ pengurusan untuk turun padang bagi melakukan tugas seperti yang dilakukan rutin oleh kakitangan yang lain. Pakcik Shell itu juga dilihat begitu mesra dan merendah diri sambil melayan orang di sekelilingnya tanpa mengira pangkat sekaligus disifatkan sangat memberi inspirasi kepada semua kakitangannya dan orang ramai.

Turun Padang Bertemu Sendiri Dengan Pelajar Beruniform Shell

Keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menjadi satu titik permulaan kepada seorang pelajar yang tular memakai baju pekerja ‘Shell’. Dalam satu video yang tular menunjukkan Amirfufu (nama Twitter) tampil ke atas pentas dengan sorakan daripada rakan-rakan kerana mendapat keputusan yang bagus.

Susulan daripada itu, remaja ini mendapat kejutan daripada Pengarah Urusan Shell Malaysia, Shairan Huzani Hussain berjumpa dengannya. Katanya lagi, majikannya turut mengundang kedatangan kedua-dua ibu bapanya untuk bertemu bersama-sama. Turut tidak lepas peluang, Shairan Huzani Hussain juga turut mengucapkan tahniah kepada pekerjanya yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM 2019.

Mesra Bantu Pelanggan Isi Minyak

Beliau sebenarnya memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd. Kira senang cerita boss paling besar Shell lah. Pakcik Shell atau nama sebenarnya Shairan Huzani Husain sering menjadi perhatian warganet di media sosial. Sebelum ini, menerusi sebuah posting perkongsian, Reza Zainal di laman Facebook yang memuat naik dua keping gambar memaparkan Pakcik Shell sedang membantu mengisi minyak pelanggan yang berkunjung ke sebuah cawangan stesen minyak tersebut.

Funtasticko.net

Tidak Sombong, Sering Menyapa Para Pekerja

Seorang gadis yang bertugas di stesen minyak tidak menyangka akan bertemu idolanya setelah kisahnya membantu mangsa kemalangan di tempat kerja tular di laman sosial hingga berjaya menambat hati Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Shairan Huzani Husian.

Nur Yasmin Khan Yazid, 22, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Shairan juga dikenali sebagai Pak Cik Shell kerana sudi turun padang bertanya khabar.  “Saya tak sangka dan masih terkejut apabila dapat bertemu beliau yang juga idola saya. Walaupun tahu beliau sangat sibuk dengan pelbagai urusan namun tetap meluangkan masa bertemu pekerjanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Pertemuan istimewa itu menyuntik semangatnya untuk terus tekun bekerja. “Beliau juga memberi nasihat agar terus berbakti kepada masyarakat terutama golongan yang memerlukan selain menghadiahkan sijil penghargaan kepada saya,” katanya. Terdahulu, dalam kejadian Jumaat lalu, Nur Yasmin nekad membantu mangsa kemalangan dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman berkaitan kecemasan. Bertugas sejak tujuh bulan lalu di sebuah stesen minyak di Rawang, katanya, lokasi tempat kerjanya berhampiran jalan utama itu sering kali berlaku kemalangan jalan raya.

Nur Yasmin menerima sijil penghargaan dari Shairan (kanan) – Sinar Harian

Berjiwa Besar, Bantu dan Beri Kerja Kepada Gelandangan 

Menerusi satu hantaran yang dibuat di akaun Instagram @pakcikshell, beliau berkongsikan bagaimana beliau berjumpa dengan seorang lelaki dipercayai remaja sebelum mendengar kisahnya dan kemudiannya membantu beliau. “Dalam perjalanan balik kerja terserempak dengan seorang adik. Bila pak cik tanya tengah buat apa, dia cakap kumpul barang untuk kitar semula untuk dijual.

“Bila pak cik tanya duduk dekat mana, dia tunjuk dekat satu dinding bangunan di alas kadbod.” Tambah beliau, remaja tersebut yang dikenali sebagai Shahril terpaksa keluar dari rumah setelah ibunya meninggal dunia. Terkesan dengan kisah remaja berkenaan, beliau kemudiannya menjelaskan sudah mendapatkan kerja untuk Shahril di salah sebuah stesen minyak yang turut mempunyai asrama untuk pekerjanya.

“Insyallah sudah dapatkan kerja dekat stesen yang ada hostel untuk adik Shahril sebab dia cakap nak kerja. “Malam nanti kita bawa dia tempat kerja. Kita doakan tuhan mudahkan hidup beliau dan semoga suatu hari nanti dia pun boleh berjaya macam awak,” k0ngsinya.

Kredit: My Team Network

Shell: Budaya Tempatan Tetap Di Hati

Walaupun sudah merantau ke pelbagai negara, budaya tempatan dan agama tidak pernah dilupakan. Semasa bekerja, beliau tidak pernah ditegur kerana meminta waktu rehat untuk menunaikan solat. Mereka di sana sangat menghormati beliau sebagai seorang Muslim dan seorang rakyat Malaysia. Malah, semangat kerja di Shell ialah menghormati agama dan adat di mana ia bertapak.

“Itulah Shell. Walaupun ia mementingkan teknologi dan kualiti di dalam produknya, ia masih memastikan budaya tempatan tidak diganggu dan perlu dihormati. Anda pasti biasa dengan cara pekerja Shell menegur anda dengan senyuman di bibir dan tangan di dada. Mereka bekerja untuk anda! Dan sejak beberapa tahun lalu, Shell sudah mula menyediakan surau yang bersih dan selesa.” ujar Shairan. Menurut beliau, stesen minyak Shell juga sudah berubah menjadi lebih mesra pelanggan, baik dari sikap melayani pelanggan sehinggakan prasarana yang dibina.

Selain itu, Shell turut memperkenalkan kedai Deli to Go di stesennya. Makanan seperti kek dan pastri dimasak di situ pada setiap hari. Istimewanya Deli to Go ini ialah walaupun makanan dibakar dan dimasak di situ, teknologi dapur tanpa apinya dipastikan selamat.

Kredit: Foursquare

“Ini Shell – keselamatan pastinya tanggungjawab nombor satu kami!” Satu lagi yang menjadi kebanggan Shairan ialah kemajuan kerjaya untuk pekerja-pekerja Shell di stesen-stesennya. “Kami memanggil mereka sebagai site-heroes,” terang Shairan. Shairan teringat semasa beliau ditugaskan di Singapura dahulu ketika bulan Ramadhan, beliau berbuka dengan pekerja-pekerja stesen minyak negara itu di sebuah masjid di sana dan beliau mula mengenali mereka dengan lebih rapat.

Gerakan #SAPOTLOKAL

Dengan menggunakan hashtag #sapotlokal di Instagram, Shairan Huzani tampak begitu komited dalam menyokong usahawan tempatan untuk membangunkan sesebuah perniagaan. Beliau sering menghantar kiriman di Instagram mengenai kisah usahawan-usahawan tempatan dalam memulakan perniagaan mereka. Terbaharu, beliau telah membuat satu kiriman gambar pertemuannya dengan En. Kamal dan Puan Hamida yang merupakan usahawan produk minuman. Beliau cuba membantu pasangan tersebut dengan meletakkan produk minuman mereka untuk dijual di Kedai Deli To Go.

Teruja dengar kisah dari en kamal dan puan hamida bagaimana mereka mula berniaga. asal2 org lain yg kilangkan utk mereka. lepas tu buat formula sendiri dan kita sudah ada kilang sendiri di beranang, selangor. mula dulu sampai bermandi air teh nak betulkan proses, cerita puan hamida. walaupun tidaklah besar, mampu memberi pekerjaan utk 12 perkerja. best kan?

Tim pakcik sedang cuba membantu pasangan ini bukan shj dgn letakkan air minuman teh buah buahan mereka tapi lebih lagi. kita buat sku khusus dgn comel. tanpa gula, guna stevia dan bahan semulajadi. green tea leaves 🍃 with passion fruit 🍎 dan black currant 🫐 tu memang sodap. apa minuman kebenaran anda? semoga usaha kita ini membawa kejayaan kepada pasangan usahawan ini. teach a man to fish… 🇲🇾 we are run by malaysians, for malaysians ✌️ #sapotlokal #usahawan #usahawanmuda

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shairan Huzani (@pakcikshell)

Beliau juga gemar menceritakan kelebihan dan sikap mulia usahawan tempatan sehingga berjaya membangunkan sesebuah perniagaan, misalnya seperti dalam sebuah kiriman di bawah,

Dapat berjumpa coach fadzil di malakat mall. beliau seorang usahawan ‘pelik’. biasanya org berniaga nak kaya utk dirinya. coach fadzil however is different. beliau sentiasa berfikir dan berusaha utk membangunkan ekosistem perniagaan yg dapat membantu masyarakat. masa bersama beliau berlalu begitu pantas dan banyak pakcik belajar dari beliau. coach reminded me everything comes from God. Usaha. Du’a. Tawakal. coach said something that makes me humbled > usaha itu bukanlah punca kejayaan. kejayaan itu milik dan pemberian Tuhan. usaha itu hanyalah membolehkan kita berdu’a dengan rasa kurang sedikit malu utk meminta ihsan Tuhan.

Siapa dah pernah pergi malakat mall? #sapotlokal 🇲🇾 we are run by malaysians, for malaysians 🇲🇾

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shairan Huzani (@pakcikshell)

Sentiasa Hargai Usaha Para Pekerja

Salah satu sifat terpuji dalam diri seorang Shairan Huzani ialah beliau sentiasa menghargai setiap usaha para pekerjanya tanpa ada isu berat sebelah. Sifatnya yang sentiasa menyantuni orang di sekeliling dan tidak lekang dek senyuman menyebabkan beliau mudah akrab dengan sesiapa sahaja. Hal ini juga membuatkan orang ramai berasa selesa untuk berborak dengannya tanpa merasakan ada jarak sosial atau gap antara mereka. Kisah-kisah inspirasi para pekerja beliau sering diceritakan di posting Instagram miliknya.

Yoges ialah rakan kerja wanita dalam #teampakcikshell pertama yg diiktiraf utk kerja isi minyak kapal terbang. hos kapal terbang tak sama dgn hos ciput di stesen minyak yg kita guna. berat hos 18kg! 💪pergh tak perlu pergi gym. beliau juga diluluskan memandu jentera tangki minyak. beliau juga seorang ibu. 🇲🇾 we are proudly run by malaysians, for malaysians ✌️ siapa hero wanita dalam keluarga anda? #wanitakerjaya #womeninaviation #ibu #aviation

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shairan Huzani (@pakcikshell)

Ini fadzil, salah seorang warga malaysia yg berkerja keras utk keperluan keluarga. dulu dia berulang alik hari2 dari jb pergi kerja di shell teluk blangah, singapura. dia tersangkut di sana sudah lama sebab covid19. besok fadzil akan beraya sorang2. isteri dan anak2 beliau tentunya lagi bersedih. walaupun pakcik tak mampu atasi cabaran ini, paling tidak, sempat berbicara melalui whatsapp video call bertanya khabar sambil berbuka puasa. sedih bila dengar fadzil cerita kali terakhir jumpa keluarga bila isteri melahirkan anak yg kini sudah pun besar. tentu penat seorang ibu memikul tanggung jawab. dan juga besar pengorbanan seorang ayah. semoga keluarga ini dapat bersama kembali. Kita di sini semuanya tentu terkilan tak dapat berjumpa org tersayang. lepas pkp ni siapa org pertama yg anda nak jumpa? 

Semoga setiap amalan kita diterima oleh Tuhan. eid mubarak we are run by malaysians, for malaysians #pjj #keluargabahagia #keluargasakinah #suamimithali #isterimithali

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shairan Huzani (@pakcikshell)

Cawangan Shell Di Persada Dunia

Bukan hanya di Malaysia, stesen Shell sudah berkembang hingga ke peringkat antarabangsa. Kini, jumlah cawangan stesen Shell di Malaysia dan luar negara sudah mencecah puluhan ribu. Ini merupakan sebuah kejayaan yang perlu dibanggakan.

Kredit: Shell

Rujukan

(1) Pernah Buka 30 Stesen Shell Di India, Ini Kisah ‘Big Boss Shell’ Yang Ramai Tidak Tahu, 2021, https://www.siakapkeli.bbn.my/2021/03/pernah-buka-30-stesen-shell-di/

(2) Shairan Huzani Hussain – Dari Kampung Nelayan Kelantan, Kini Ketuai Hiliran Shell Malaysia, 2018, https://ewarta.mara.gov.my/2018/12/07/shairan-huzani-hussain-dari-kampung-nelayan-kelantan-kini-ketuai-hiliran-shell-malaysia/

(3) ‘Pakcik Shell’ Turun Padang, Bantu Isi Minyak Pelanggan, 2020,

(4) Kisah Si Baik Hati dan Pakc Cik Shell, 2020, https://www.sinarharian.com.my/article/84469/BERITA/Viral/Kisah-si-baik-hati-dan-Pakcik-Shell

(5) ‘Pak Cik Shell’ Beri Bantuan Selepas Mendengar Kisah Remaja Gelandangan Ini, 2021, https://myteamnetwork.com.my/pak-cik-shell/

(6) pakcikshell, https://www.instagram.com/pakcikshell/?hl=ms

(7) Shell Station Locator, https://www.shell.com.my/motorists/shell-station-locator.html#iframe=Lz9sb2NhbGU9ZW5fTVkjL0AtMjUuMzIwNjQsNTkuODE2ODgsM3o

Hanis Lyana