Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Bernama

Guru Tadika Rugi RM69,030 Ditipu Pembelian Kucing Menerusi Facebook

SEREMBAN, 27 Okt (Bernama) — Seorang guru tadika mendakwa kerugian RM69,030 gara-gara ingin membeli seekor kucing berharga RM900 menerusi media sosial, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata wanita berusia 25 tahun itu berminat untuk membeli kucing jenis ‘scottish’ dari Indonesia yang diiklankan menerusi Facebook pada 23 Okt lepas.

“Kemudian wanita berkenaan berbincang menerusi telefon dengan persetujuan harga sebanyak RM900. Mangsa hanya perlu membayar separuh harga dan selebihnya akan dibayar setelah mendapat kucing tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aibee berkata pada hari sama, wanita itu membayar wang pendahuluan sebanyak RM450 ke dalam akaun atas nama Tansiaupenga Siagian melalui pemindahan wang dan kemudian dimaklumkan bahawa kucing tersebut telah ‘dipos’ kepada mangsa.

Menurut beliau wanita berkenaan telah diminta membuat beberapa bayaran sebagai prosedur sepanjang proses pengeposan kucing tersebut.

“Justeru, mangsa telah melakukan 14 transaksi ke dua akaun berbeza berjumlah RM69,030 sejak 23 hingga 24 Okt lepas,” katanya.

Aibee berkata mangsa membuat laporan polis semalam setelah menyedari ditipu selain bimbang dokumen seperti gambar kad pengenalan dan alamat rumah disalahgunakan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

" "