Sebuah kapal kargo Indonesia, KM Liberty 1 dilaporkan telah karam di perairan utara Bali pada Sabtu. Dalam kejadian itu, sejumlah anak kapal telah hilang dan masih lagi tidak ditemui.
Namun, menerusi laporan terbaru dari Liputan6, dua orang anak kapal telah pun ditemui selepas puluhan jam terapung di tengah laut. Mereka telah diselamatkan oleh pasukan Basarnas yang menjalankan operasi pencarian sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, seorang daripada mangsa telah pun meninggal dunia dan seorang lagi berada dalam keadaan selamat.
Isnin lalu, enam orang anak kapal juga telah ditemui terapung di laut dan diselamatkan oleh kapal LCT Dipasena 2 yang berada di sekitar lokasi tersebut.
Sementara itu, pasukan Basarnas terus melanjutkan pencarian tujuh mangsa lain yang belum ditemui dengan mengerahkan kapal SAR Arjuna 229.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu itu, KM Liberty 1 dipercayai karam selepas dibadai ribut.