Siakap Keli
Gambar Via The Verge

Diilhamkan Dari Perkataan Yunani, Facebook Rasmi Tukar Nama Kepada ‘Meta’

Seperti yang dilaporkan pada minggu lalu, Facebook akan menukar nama syarikatnya bagi mengalihkan tumpuan kepada teknologi ‘metaverse’.

Teka-teki mengenai nama baharu syarikat itu akhirnya terjawab apabila pengasasnya, Mark Zuckerberg mengumumkan bahawa Facebook akan menukar nama korporatnya kepada Meta.

Menurut CNN, nama baharu itu telah diumumkan oleh Zuckerberg semasa persidangan realiti maya, Facebook Connect, semalam.

Difahamkan, pertukaran nama itu adalah sejajar dengan fokusnya kepada ‘metaverse’, yang merujuk kepada usaha untuk menggabungkan teknologi realiti maya dan ditambah dalam alam online baharu.

“Untuk ke tahap yang seterusnya, saya banyak memikirkan identiti kami kerana Facebook adalah salah satu produk teknologi yang paling banyak digunakan dalam sejarah dunia.

“Ia adalah jenama media sosial yang ikonik, tetapi semakin hari ia tidak merangkumi semua perkara yang kami lakukan,” katanya dalam persidangan itu.

Tambahnya lagi, kebanyakan masyarakat di dunia melihat syarikatnya sebagai syarikat media sosial, padahal mereka lebih daripada itu.

“Kami adalah sebuah syarikat yang membina teknologi untuk menghubungkan orang ramai dan ‘metaverse’ adalah sempadan seterusnya yang sama seperti rangkaian sosial ketika kami bermula dulu,” katanya.

Meta telah diilhamkan dari perkataan Yunani meta yang bermaksud ‘melampaui sesuatu’. Ia melambangkan bahawa sentiasa ada sesuatu yang perlu dibina.

 

 

Sumber: CNN

Sofea

There's always another side to every story