Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Facebook Dilapor Rancang Tukar Nama Syarikatnya Minggu Depan?

Fokus untuk membangunkan metaverse, Facebook dilaporkan telah merancang untuk menukar nama syarikatnya pada minggu depan.

Menurut The Verge, nama baharu akan didedahkan oleh Mark Zuckerberg dalam persidangan tahunan syarikat, Connect, pada 28 Oktober nanti.

Difahamkan, nama baharu itu menjadi rahsia yang dijaga dengan rapi dan tidak diketahui secara meluas termasuk oleh pegawai kanan syarikat itu.

Penjenamaan semula itu berkemungkinan akan meletakkan aplikasi Facebook sebagai salah satu daripada produk di bawah syarikat induk yang mengawasi kumpulan seperti Instagram, WhatsApp, Oculus dan banyak lagi.

Bagaimanapun, jurucakap Facebook dilaporkan enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, Zuckerberg pernah mengatakan bahawa dalam beberapa tahun lagi mereka akan beralih daripada syarikat media sosial menjadi syarikat metaverse.

Facebook bukan syarikat teknologi pertama yang telah menukar nama syarikatnya. Pada tahun 2015, Google beroperasi di bawah syarikat induk bernama Alphabet, sebagai isyarat untuk menunjukkan bahawa ia bukan lagi berfungsi sebagai ‘mesin carian’ tetapi syarikat konglomerat yang turut mencipta kereta tanpa pemandu dan teknologi kesihatan.

Sumber: The Verge, Media Corp, The Guardian

Sofea

There's always another side to every story