LONDON: Seorang wanita warga emas terkejut apabila dia menemui sebutir berlian 34 karat yang bernilai £2 juta (RM11.43 juta) yang hampir dibuang ke tong sampah semasa membuat kerja pembersihan.
Batu berlian itu telah dibeli oleh wanita itu pada jualan car boot bertahun-tahun yang lalu, selain menganggap bahawa ianya hanya sebutir berlian yang tidak ada nilainya.
Walau bagaimanapun, wanita itu membawa berlian tersebut untuk dinilai selepas diyakinkan oleh seorang jirannya. Wanita itu terkejut apabila dia mengetahui bahawa berlian itu merupakan sebutir berlian tulen.
Menurut Lane, seorang wakil dari firma lelongan Featonby’s berkata, wanita itu datang ke kedainya bersama satu beg berisi barang kemas dan kemudian berlalu pergi kerana dia mempunyai janji temu lain.
“Ia berada di dalam sebuah kotak bersama-sama barangan kemas yang bernilai rendah”, katanya.

“Kami melihat batu berlian yang agak besar, lebih besar daripada syiling paun dan menyangka ia merupakan kubik zirkonia, iaitu sejenis berlian tiruan”, tambahnya.
“Ia berada di atas meja saya selama dua atau tiga hari sehingga saya menggunakan mesin penguji berlian. Kemudian, kami menghantarnya kepada rakan kongsi kami di London sebelum ia disahkan oleh pakar di Antwerp, Belgium dan mengesahkan bahawa ia adalah berlian 34 karat”, tambahnya lagi.
Menurut Lane, ia adalah berlian yang terbesar yang pernah dilihatnya dalam lima tahun menjalankan perniagaan itu.

Lane berkata, wanita itu mahu kekal tanpa nama. Dia juga mendedahkan bahawa wanita itu suka pergi ke jualan car boot dan tidak pernah menyangka ia adalah berlian sebenar.
Berlian itu kini ditahan di lokasi yang lebih selamat di Hatton Gardens, London sebelum ia dilelong pada 30 November.
Sumber: The Mirror