Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Mothership

Lelaki Dilapor ‘Merentas’ Ke Singapura Untuk Tikam Anak 17 Kali Kerana Mendakwa Anaknya Jual Rumah Keluarga

Seorang lelaki warganegara Malaysia dilaporkan telah menikam anak perempuannya sebanyak 17 kali di perhentian bas di Singapura dengan niat untuk membunuh selepas mendakwa bahawa anaknya itu telah menjual rumah keluarga mereka di Malaysia, lapor Mothership.

Menurut portal itu, lelaki berusia 65 tahun itu menyeberangi sempadan ke Singapura untuk melakukan perbuatan tersebut pada Januari 2020.

Difahamkan, lelaki itu bertindak sedemikian kerana merasakan anaknya merupakan ‘dalang’ disebalik penjualan rumahnya di Malaysia sehingga membuatkannya tidak mempunyai ‘tempat berteduh’.

Dalam perbicaraan pada Selasa, suspek telah mengaku bersalah atas satu pertuduhan cubaan membunuh dan pertuduhan memiliki senjata untuk melakukan serangan di khalayak ramai.

Menerusi dokumen yang dibacakan di mahkamah, lelaki tersebut merupakan seorang pemandu lori di Johor Bahru dan mempunyai tiga orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki.

Hubungan dia dan anak-anaknya dipercayai semakin tegang apabila berlakunya pertikaian mengenai hak pemilikan sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Johor Bahru.

Rumah itu telah dibeli pada tahun 2000 atas nama mangsa kerana lelaki itu adalah seorang ‘muflis yang belum dilepaskan’. Dia mendakwa bahawa telah membayar rumah itu walaupun anaknya juga telah menyumbang kepada pembelian dan membantu membayar gadai janji bulanan.

Dia juga telah berpindah keluar dari rumah itu pada tahun 2007 untuk bekerja di Melaka tetapi masih kembali ke rumah itu dari semasa ke semasa. Namun, anak lelaki sulungnya dipercayai telah menukar kunci rumah agar mereka tidak lagi dapat berjumpa dengannya.

Rentetan dari itu, lelaki tersebut pernah memecah masuk ke dalam rumah itu pada tahun 2019 dan menulis di dinding dan cermin dengan menggunakan cat merah. Di didakwa mengancam untuk membunuh anak-anaknya.

Sementara itu, laporan perubatan yang bertarikh pada Februari dan Mac 2020 menyatakan bahawa mangsa telah mengalami kecederaan yang mungkin mengancam nyawa. Mangsa juga telah menjalani fisioterapi sehingga Jun 2021.

Prosiding pembacaan hukuman kepada lelaki itu akan berlangsung pada 5 November ini.

Jika didapati bersalah atas cubaan membunuh, dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan dirotan atau penjara sehingga 20 tahun dan denda, rotan atau kedua-duanya sekali.

Namun, mengikut undang-undang Singapura, lelaki itu tidak boleh dirotan memandangkan dia sudah berusia di atas 50 tahun, lapor Mothership.

Sumber: Mothership

Sofea

There's always another side to every story