Siakap Keli
Gambar Via Tribun News

Tiru Aksi “Salam Dari Binjai”, 9 ‘Bocah’ Ditahan ‘Tumbangkan’ Pokok Pisang Penduduk Kampung

Terpengaruh dengan trend aksi ‘Salam dari Binjai’, sembilan orang remaja dilaporkan telah ditahan oleh penduduk kampung kerana didapati telah merosakkan puluhan pokok pisang milik penduduk di Kabupaten Lamongan, Jawa Timur.

Menurut Tribun News, mereka didapati telah melakukan aksi tersebut pada waktu siang dan malam selama empat hari berturut-turut.

Difahamkan, mereka menjadikan pokok pisang tersebut sebagai ‘alat’ tinju dengan mempamerkan pelbagai aksi. Ada di antara mereka yang memanjat batang pokok pisang dan menghayunnya sehingga roboh.

Manakala, ada yang merosakkan pokok pisang dengan menggunakan alatan kayu yang ‘ditanam’ dengan puluhan paku.

Sebaik sahaja menumbangkan kira-kira 50 pokok, mereka didakwa merasa berpuas hati dan sangat gembira sebelum melarikan diri dari lokasi tersebut.

Ekoran tindakan itu, Ketua Kampung Surabayan, Sunarto, telah memanggil semua remaja itu bersama ibu bapa mereka ke balai desa. Mereka dipercayai bukan berasal daripada kampung itu.

“Sebenarnya ramai yang turut serta ketika itu tetapi kami memanggil sembilan orang remaja sahaja,” kata Sunarto.

Tambahnya lagi, pemilik pokok pisang juga sudah dipertemukan dengan para pelaku ketika berada di balai desa. Bagaimanapun, mereka tidak meminta ganti rugi kerana kesian semua pelaku masih lagi remaja.

Pada pertemuan itu juga, ibu bapa kepada semua remaja terbabit meminta maaf kepada penduduk kampung bagi pihak anak mereka.

Sementara itu, remaja terbabit mengaku bahawa tindakan mereka telah ‘diilhamkan’ daripada video tular ‘Salam Binjai’ dan video yang dirakam oleh mereka juga telah dimuatnaik di laman media sosial.

Aksi memukul pokok pisang dengan ucapan ‘Salam dari Binjai’ itu pertama kali dimuatnaik oleh seorang pengguna TikTok dan menjadi tular di media sosial sehingga kini.

Sumber: Tribun News

Sofea

There's always another side to every story