Siakap Keli
Gambar via ANI

Unit ICU Hospital Terbakar, 11 Pesakit COVID-19 Dilaporkan Maut

11 pesakit COVID-19 dilaporkan meninggal dunia manakala enam lagi cedera dalam satu insiden kebakaran di sebuah hospital awam di wilayah Maharashtra, India.

Memetik laporan Times of India, api dikatakan merebak dari unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan semalam mengakibatkan enam pesakit lain cedera akibat luka bakar.

Tambah portal berkenaan, pihak berkuasa tempatan mengesahkan, unit ICU di tingkat bawah hospital yang dipenuhi asap hitam menyebabkan kesukaran pihak hospital untuk menyelamatkan mangsa.

Pun begitu, pihak hospital dikatakan cuba untuk memadamkan api yang semakin merebak menggunakan pemadam kebakaran namun hampa kerana suhu yang makin meningkat dan asap tebal yang menghalang pandangan mereka. Api walaubagaimanpun berjaya dikawal oleh pihak bomba dan penyelamat dalam masa setengah jam.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan India bersetuju untuk memberi pampasan sebanyak Rs 5 lakh atau sekitar RM28,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran tersebut.

Sumber: Times of India

Eyla Azri