Ramai mungkin tidak mengetahui kewujudan satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membolehkan pesakit terpilih mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan kadar bayaran seperti di hospital kerajaan.
Program dikenali sebagai HSOP itu mula diperkenalkan pada 2024 dan membolehkan pesakit dirujuk ke hospital swasta berdasarkan penilaian serta keputusan pakar hospital kerajaan.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @omg_digital_health, yang menjelaskan bahawa program berkenaan melibatkan beberapa bidang perubatan termasuk nefrologi, kardiologi, pembedahan kardiotorasik, kardiologi pediatrik dan radiologi.
Menurut perkongsian tersebut, pesakit hanya perlu membayar mengikut kadar yang ditetapkan hospital kerajaan, manakala baki kos rawatan ditanggung oleh kerajaan.
Malah, peruntukan bagi program berkenaan turut dikatakan meningkat daripada RM144 juta kepada RM200 juta dalam Belanjawan 2027.
Menerusi perkongsian sama, pengguna itu turut bertanyakan pengalaman orang ramai yang pernah dirujuk menggunakan HSOP serta tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan.
Meninjau ruangan komen, seorang pengguna Threads, @asyikinahmad, berkongsi bahawa hospital tempatnya bertugas kerap menerima pesakit menerusi program berkenaan.
Menurutnya, proses kemasukan pesakit boleh dilakukan dengan cepat sekiranya pihak hospital kerajaan telah menghubungi pakar hospital swasta, katil tersedia dan surat jaminan (GL) selesai diproses.
“Hospital saya banyak menerima kes seperti ini. Katakan doktor kerajaan menghubungi pakar kami dan katil tersedia, pihak kerajaan akan menguruskan GL. Ada kalanya, jika doktor menghubungi pada waktu pagi, pesakit sudah boleh dimasukkan ke wad pada sebelah petang.
“Untuk kemasukan pada waktu malam pun kami terima asalkan GL sudah diperoleh. Kes kanak kanak yang tidak serius atau ibu yang menjalani pembedahan caesarean, sepanjang 2024 hingga 2025 hampir setiap minggu ada. Alhamdulillah, rezeki kami,” kongsinya.
Sementara itu, @mama_pooh23 turut berkongsi pengalaman mengenai tempoh menunggu bagi pemeriksaan ultrabunyi yang boleh dilakukan menerusi rujukan pihak hospital.
Menurutnya, pesakit masih perlu menunggu giliran yang ditentukan oleh pihak hospital, malah tempoh menunggu juga boleh melebihi enam bulan.
Bagaimanapun, @omg_digital_health menjelaskan bahawa penggunaan HSOP membolehkannya menjimatkan tempoh menunggu hampir enam bulan berbanding mendapatkan pemeriksaan di hospital kerajaan yang boleh mengambil masa sehingga hampir dua tahun.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @myrandom.quest, berkongsi pengalaman apabila terpaksa mendapatkan imbasan CT selepas mesin di hospital tempatnya menerima rawatan mengalami kerosakan.
Menurutnya, pihak hospital menawarkan pilihan untuk menjalani pemeriksaan di hospital swasta dengan bayaran tambahan beberapa ratus ringgit atau menunggu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan lain.
Menjawab perkara itu, @omg_digital_health menjelaskan bahawa terdapat kuota pesakit harian bagi mendapatkan kemudahan berkenaan dan pesakit yang ingin mempercepatkan urusan mungkin perlu membuat bayaran tambahan.
Perkongsian tersebut turut mendapat reaksi positif daripada pengguna lain, termasuk @jxexzxm yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai usaha membantu menjaga kebajikan rakyat.
“Terima kasih kepada kerajaan sedia ada. Ini antara inisiatif terbaik untuk menjaga kebajikan rakyat. Inilah bukti apabila wang disalurkan semula kepada rakyat,” tulisnya.
Turut berkongsi pengalaman ialah @ainur_azreen yang memaklumkan anaknya pernah dirujuk dari Hospital Serdang ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan kedua.
“Anak saya. Dirujuk oleh Hospital Serdang ke IJN untuk pembedahan kedua. Terima kasih kepada warga KKM Hospital Serdang dan warga IJN,” kongsinya.
Seorang lagi pengguna, @babah_kacakk, turut mengesahkan pernah menggunakan kemudahan menerusi program berkenaan.
Sementara itu, @atieyk berkongsi pengalamannya menjalani pemeriksaan ultrabunyi payudara selepas dirujuk oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke ALTY Hospital.
“Saya masuk program ini sebelum ini untuk pemeriksaan ultrabunyi payudara. HKL merujuk saya ke ALTY Hospital dan saya hanya perlu membayar RM5,” jelasnya.
Pengalaman lebih mendalam turut dikongsikan @aansory yang memaklumkan dirinya pernah menjalani pembedahan pintasan jantung menerusi program tersebut.
Menurutnya, dia menjalani prosedur angiogram di Hospital Serdang pada Mac 2025 sebelum dimaklumkan perlu menjalani pembedahan pintasan jantung berikutan tiga saluran darahnya mengalami penyumbatan serius.
Katanya, tarikh paling awal untuk menjalani pembedahan di Hospital Serdang ketika itu adalah pada Disember 2025.
Bagaimanapun, doktor kemudiannya memberikan pilihan untuk menjalani pembedahan di hospital swasta dan dia memilih KPJ Seremban.
“Saya selesai menjalani pembedahan pintasan jantung pada Julai 2025. Saya tidak tahu kriteria apa yang menyebabkan doktor menawarkan program ini kepada saya, tetapi ketika itu saya mengalami tiga saluran darah tersumbat pada kadar 100 peratus, 90 peratus dan 70 peratus.
“Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh berlari,” kongsinya.
Dalam pada itu, pengguna Threads @hafizrsb mengingatkan orang ramai bahawa pelaksanaan program berkenaan mempunyai tempoh tertentu, lazimnya dari April hingga November.
Menurutnya, kelayakan juga tertakluk kepada syarat kewarganegaraan, peruntukan yang tersedia serta tempoh pelaksanaan program.
Jelasnya, program tersebut dikhususkan kepada pemegang MyKad dan rakyat Malaysia, selain pesakit perlu mengambil tindakan segera apabila peruntukan dibuka kerana pelaksanaannya bergantung pada bajet yang disediakan.

