Pelawak, Amir Raja Lawak dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan selepas tidak lagi memerlukan bantuan oksigen.
Bagaimanapun, Amir mengakui dirinya masih belum pulih sepenuhnya apabila mengalami kesukaran untuk berjalan dan bercakap dalam tempoh lama kerana keadaan fizikalnya masih lemah.
Menerusi perkongsian di Facebook, Amir, 37, berkata dia masih mengalami sesak nafas walaupun hanya berjalan beberapa langkah.
“Alhamdulillah sudah tak pakai oksigen. Cuma tak boleh berjalan atau bercakap banyak lagi ni. Saya cuba berjalan, tapi dua langkah pun semput cari nafas.
“Kat dahi dengan hidung tu kesan pakai mesin BiPAP semasa di ICU. Katanya, saya kena sental dengan Vaseline nanti untuk bagi bersih dan nampak natural balik,” katanya.
Dalam pada itu, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi kini sudah boleh kembali berinteraksi dengan pengikut di media sosial meskipun masih belum mampu membalas semua komen seperti sebelum ini.
“Baiklah dengan ini, kita sekarang sudah boleh mula bergurau atau bahan membahan di media sosial, cuma komen komen saya tak dapat balas semua macam dahulu,” katanya.
Sebelum ini, Amir turut berkongsi pengalaman selepas lebih dua minggu terlantar di katil sehingga mengalami kesukaran untuk kembali berdiri dan berjalan.
Menurutnya, dia berasa seperti dicucuk jarum pada bahagian tapak kaki ketika mula berdiri selepas sekian lama tidak memijak lantai.
“Dua minggu lebih duduk atas katil, lama tak berpijak di bumi yang nyata. Ingatkan rasa macam lembik lutut atau kebas kebas bila bangun atau berdiri. Tapi dia rasa mencucuk cucuk tapak kaki macam ada jarum,” katanya.
Amir turut memaklumkan bahawa dia menjalani sesi fisioterapi sepanjang tempoh pemulihan, termasuk melakukan latihan menggunakan alat senaman pernafasan bagi membantu memulihkan keupayaan paru parunya.
Untuk rekod, Amir dimasukkan ke ICU pada 11 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru paru sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas lebih 10 hari menerima rawatan di unit berkenaan.

