Siakap Keli
Gambar Via Tribun News

Dipercayai Marah Anak Buang Air Besar Dalam Seluar, Ibu Dilapor Pukul Anak 4 Tahun Hingga Mati

Seorang ibu di Surabaya dilaporkan tergamak mendera anak kandungnya yang berusia 4 tahun sehingga mati kerana berang mangsa membuang air besar dalam seluar.

Memetik laporan Detik News, suspek mengaku mendera anaknya dengan memukul dan menolak mangsa.

“Motif suspek mendera anaknya adalah disebabkan dia tidak dapat menahan emosi dan terlalu marah kerana mangsa tidak mendengar arahannya agar tidak membuang air besar di dalam seluar,” kata Ketua Unit Siasatan Jenyah Polis Surabaya, Mirzal Maulana kepada Detik News.

Sementara itu, hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa mendapati bahawa punca kematiannya disebabkan oleh pendarahan di dalam otak. Ia berkemungkinan disebabkan kepalanya terhantuk pada dinding ketika suspek menolaknya, lapor Kompas TV.

Hasil siasatan pihak polis juga mendapati bahawa kanak-kanak itu sebenarnya mengalami gangguan pertumbuhan yang membuatkannya sukar untuk menurut arahan.

Difahamkan, hampir setiap hari mangsa telah didera oleh ibunya. Selain dicubit dan dipukul, mangsa turut dicekik.

Setelah kematiannya, keluarga mangsa yang lain dikatakan merasa curiga kerana melihat banyak kesan lebam di badan mangsa dan melaporkannya kepada pihak polis.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Polis Surabaya, Edy Herwiyanto mengatakan bahawa mangsa sebenarnya telah diasuh oleh neneknya sejak usia tiga bulan, tetapi ibu bapanya telah mengambilnya semula dua minggu lepas kerana dia akan mula bersekolah.

Suspek telah didakwa dengan beberapa pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun.

Sumber: Detik News, Kompas TV

Sofea

There's always another side to every story