Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Betul Ke Tak Boleh Isi Minyak Sampai Tangki Betul-Betul Penuh? Jurutera Ini ‘Bongkar’ Hal Sebenar

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bagi pemilik kenderaan, mesti korang pernah dengar orang cakap jangan isi minyak penuh sangat, nanti fuel pump rosak. Maka kita pun rasa takut-takut kan masa nak isi minyak, tekan pam pun sikit-sikit je risau kalau tak sengaja isi terlalu penuh.

Kalau korang nak tahu, isi minyak terlalu penuh sebenarnya takkan merosakkan fuel pump seperti yang sering dimomokkan sebelum ini. Pun begitu, ia boleh menjejaskan fungsi komponen lain pada kenderaan.

Menyangkal ‘mitos’ ini, Dr Aid Fawzal yang juga merupakan seorang jurutera simulasi tampil ‘membongkar’ fakta sebenar melalui sebuah thread di laman Twitter miliknya. Ikuti perkongsian Dr Aid Fawzal di bawah ini.

“Isi minyak terlalu penuh tidak akan rosakkan fuel pump..”

Betulkah dengan mengisi minyak terlalu penuh boleh rosakkan ‘fuel pump’?

Jawapan pendek:

TIDAK! Mengisi minyak terlalu penuh TIDAK akan rosakkan fuel pump sebaliknya akan merosakkan vapour atau charcoal canister.

Jom kita bongkarkan.

Gambar: Aid Fawzal

Pertama sekali, mesej yang penulis tulisan viral tu nak sampaikan adalah baik. Ceritanya beliau akan isi minyak penuh hanya sehingga kepala nozzle pengisi menendang dan tak perlu teruskan isian penuh. Ini saya setuju dan ia adalah satu amalan yang baik.

Akan tetapi alasan-alasan yang penulis nyatakan adalah tidak benar. Beliau sebut berkenaan:

  • 2 peratus ruang pengembangan = tak benar!
  • Minyak kembang bila panas = berapa kembang?
  • Isi lebih-lebih nanti melimpah atas jalan = separa benar.

“Pandu kereta bila meter minyak bawah E rosakkan fuel pump”

Izinkan saya jelaskan dalam bentuk soal jawab.

1. Apa yang terjadi bila isi minyak penuh?

 Apabila kita nak isi minyak, kita akan masukkan nozzle pengisi ke dalam lubang isian (fuel filler neck) dan tarik picu (trigger) lalu minyak mengalir masuk ke dalam tangki.

Kemudian bila minyak mula penuh, ia akan melalui vapour return hose dan datang kembali berdekatan dengan lubang isian. Siapa yang suka memerhati pasti pernah nampak minyak keluar daripada paip atau lubang kecil dalam lubang isian tu.

Haa.. minyak yang keluar ni tadi, bila dia menutup muncung depan nozzle pengisi tu yang akan buat nozzle tendang.

Ada macam-macam jenis kepala nozzle, ada yang lubang dibawah nozzle, ada yang dalam nozzle, tapi prinsipnya sama. Ia gunakan konsep ‘venturi effect’. Apabila lubang ini tertutup oleh minyak, ia akan sekat aliran keluar daripada muncung. Terus berhenti pump.

Gambar: Jalopnik via Aid Fawzal

2. Adakah benar tangki kenderaan perlukan 2 peratus ruang pengembangan seperti yang dinyatakan?

Hal ini tidak benar kerana tangki minyak kenderaan ada aliran angin masuk-keluar padanya. Angin akan masuk ke dalam tangki melalui lubang isian tu.

Sebab tu penutup lubang isian ‘special’. Pusing-pusing tak ketat pon tapi dah bunyi kraaakkk!! Ia menutup laluan cecair, tapi benarkan angin untuk masuk.

Kedua, tangki kenderaan juga mempunyai Evaporative Emission Control System (biasa dipanggil pendek sebagai ‘EVAP’ system). Sistem ini gunanya untuk bantu apabila minyak tadi berubah menjadi wap.

Gambar: Neogaf via Aid Fawzal

Sistem ini gunanya untuk tapis wap minyak anda dan gunakan semula ke dalam enjin. Jika anda selalu isi minyak penuh-penuh, ada kemungkinan yang tinggi minyak akan masuk ke dalam sistem ini dan mengisi vapour atau charcoal canister.

Jika ini berlaku, lampu amaran (check engine) akan bernyala. Kene tukar canister boh!

Gambar: BA Auto Care via Aid Fawzal

3. Bagaimana pula jika minyak mengembang apabila cuaca panas?

Nilai pengembangan haba bagi petrol dan diesel adalah 0.00095 per darjah Celcius dan 0.00083 per darjah Celcius. Nilai ini sangat rendah jika diletakkan pada perubahan suhu di Malaysia.

Contoh, katakanlah Ahmad isi minyak keretanya 10 liter waktu malam pada suhu 24 darjah Celcius dengan harga RM20.50. Pada waktu siang yang panas, suhu tangki naik ke 40 darjah Celcius. Kini minyak 10 liter yang Ahmad isi malam tadi jadi 10.02 liter = RM20.53.

Tak banyak pun kembangnya.

Teori isi minyak kat Genting Sempah tu pon boleh kita sangkal. Perbezaan suhu sejuk kat Genting Sempah dengan kawasan-kawasan lain tak signifikan. Jadi takkan beza banyak pun minyaknya dari segi nilai isipadu.

4. Bolehkah minyak melimpah atas jalan raya melalui ‘overflow port’?

Tak boleh. Minyak hanya boleh overflow atau melimpah melalui lubang isian (fuel filler neck) atau sesetengah motorsikal dan kenderaan lama yang mempunyai breather hose. Ini adalah laluan pernafasan tangki. Isian penuh juga boleh melimpah melalui laluan ini terutamanya bila ambil selekoh atau koner.

Ini hal safety! Mana boleh pengeluar kereta buat buang limpahan atas jalan kan?

5. Adakah isi penuh boleh rosakkan fuel pump?

Tak boleh. Yang akan rosakkan fuel pump bila selalu pandu kereta dalam keadaan minyak ‘reserved’ (atau bawah tanda E pada meter minyak). Ini kerana fuel pump tu gunakan minyak sebagai bahan penyejukan dan pelincir juga. Fuel pump yang berjalan tanpa adanya aliran minyak akan buatkan ia panas dan komponen dalamnya haus.

Selain tu, memandu dengan minyak ‘reserved’ juga boleh rosakkan fuel pump disebabkan kotoran atau enapan disedut ke dlm enjin. Ini boleh sebabkan fuel filter dan injector tersumbat juga.

Di akhir hantaran, Dr Aid Fawzal turut menambah bahawa enjin petrol sebenarnya bila habis minyak boleh isi dan terus jalan. Tapi lain pula ceritanya dengan enjin diesel.

Katanya, enjin diesel kalau putus minyak akan berlaku airlock dan mekanik perlu sedut diesel untuk penuhi fuel system sebelum ia boleh berjalan kembali.

Walau apa jenis kenderaan pun yang korang bawak, sedikit sebanyak perkara basic tentang kenderaan ni perlu juga ambil tahu. Dah agak-agak minyak nak penuh tu jangan pergi pam lagi sampai limpah ye, nanti menangis pulak kalau kena tukar canister.

Sumber: Twitter Aid Fawzal

Eyla Azri