Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dengar sahaja mengenai sukan permotoran, mesti ramai yang terbayang mengenai deruman enjin, pecutan dan intensiti perlumbaan yang ‘memecah’ adrenalin.
Cabaran dan dinamik sukan kompetitif ini berjaya menarik perhatian peminat yang tersendiri dan disebabkan itu ia masih bertahan sehingga kini.
Namun, ada sesetengah orang yang bukan sekadar menjadi peminat, tetapi turut mencari peluang terlibat secara langsung dalam perjalanan sukan tersebut.
Salah satu daripada sukan itu ialah Formula 1 (F1). Menariknya, F1 bukan sekadar tentang perlumbaan atau kelajuan semata-mata, namun melibatkan teknologi kejuruteraan yang kompleks.
Ketika kamera tertumpu kepada pelumba dan podium, ada pasukan teknikal yang bekerja setiap saat memastikan prestasi setiap jentera perlumbaan berada pada tahap terbaik.
Bila sebut mengenai pasukan teknikal, ia bukan hanya melibatkan tugas menukar tayar di kotak pit seperti yang sering kita lihat ketika perlumbaan, tetapi ia turut membabitkan kejuruteraan bendalir.

Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa jurutera bendalir trackside mempunyai peranan yang sangat kritikal dalam memastikan operasi enjin berjalan lancar sepanjang perlumbaan F1.
Di sebalik pecutan yang dihasilkan sesebuah jentera lumba, jurutera bendalir bertungkus lumus memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
Mereka diwajibkan untuk berada di semua perlumbaan di seluruh dunia setiap tahun dan menjadi ‘penggerak’ kepada kejayaan pasukan.
Bagi yang belum tahu, terdapat beberapa orang anak Malaysia yang menjadi jurutera bendalir trackside ini.
Antaranya ialah Emil Bernsten dan Arvin.
Emil yang merupakan graduan Kejuruteraan Kimia menjadi individu penting dalam pasukan jurutera bendalir trackside.

Pernah berkhidmat sebagai Jurutera di Global Research dan Technology di Turin, Itali pada 2020, Emil bertanggungjawab memastikan bendalir mematuhi piawaian dan keperluan kawal selia untuk negara yang berbeza.
Minatnya terhadap penyelesaian tenaga dan tenaga boleh diperbaharui semasa sekolah menengah akhirnya membawanya ke dunia sukan permotoran.
Manakala, Arvin yang juga melanjutkan pengajian di United Kingdom pun turut berkhidmat di Turin. Berasal dari latar belakang yang berbeza, namun impian mereka tetap sama iaitu untuk meneroka dunia kejuruteraan bendalir ini dengan lebih jauh.
Mereka turut ingin menjadi duta contoh bagi rakyat Malaysia dalam memacu inovasi ke arah kemampanan dalam sukan F1.
Walaupun mungkin tidak disebut-sebut oleh peminat, namun peranan jurutera Trackside Fluid sememangnya sangat penting untuk pembangunan kereta lumba dan membawa pasukan kepada kejayaan yang unggul.
Ia juga menonjolkan bakat tempatan Malaysiadi pentas dunia F1 dengan lebih mendalam.