Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

FIA Dedah BYD Dan Geely Berminat Sertai F1

BYD Dan Geely Berminat Sertai F1
Kredit: FIA

China berkemungkinan mempunyai pasukan sendiri dalam saingan Formula 1 (F1) selepas dua pengeluar automotifnya, BYD dan Geely, mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Perkara itu didedahkan Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem yang berkata kedua-dua syarikat berkenaan sudah menyatakan minat untuk menyertai perlumbaan berprestij tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan FIA tidak akan menerima penyertaan baharu semata-mata untuk menambah jumlah pasukan kerana calon perlu membuktikan kemampuan mereka terlebih dahulu.

“Kita boleh membuka peluang kepada pasukan ke-12, tetapi adakah kita memerlukannya? Tidak. Kita bukan sekadar memerlukan sebuah pasukan, sebaliknya pasukan yang benar-benar berkualiti,” katanya ketika berucap di Forum Ekonomi Baharu di Madrid.

Ketika ini, F1 mempunyai 11 pasukan selepas Cadillac menyertai kejohanan tersebut pada 2026, manakala Audi memasuki saingan menerusi pengambilalihan pasukan Sauber.

FIA sebelum ini pernah membuka permohonan kepada pihak berminat pada 2023 sebelum memilih projek Cadillac sebagai pasukan baharu.

BYD Dan Geely Berminat Sertai F1

Ben Sulayam bagaimanapun melihat China sebagai calon paling sesuai untuk mengembangkan lagi saingan F1, terutama dengan kedudukan negara itu sebagai pasaran automotif yang semakin penting.

China juga sudah mempunyai perlumbaan Grand Prix sendiri, manakala F1 kini turut menyaksikan kehadiran pengeluar dari Amerika Syarikat menerusi Cadillac.

Menurut Ben Sulayem, perbincangannya dengan pengeluar China bukan sekadar usaha mendapatkan minat mereka kerana kedua-dua syarikat berkenaan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai kejohanan itu.

“Saya bertemu beberapa pengeluar yang datang menyatakan hasrat untuk menyertai F1. Salah seorang daripada mereka ialah BYD dan seorang lagi Geely,” katanya.

Minat BYD terhadap F1 sebenarnya sudah diperkatakan sebelum ini, termasuk kemungkinan syarikat itu menyertai kejohanan berkenaan menerusi beberapa pendekatan berbeza.

Namun, Ben Sulayem menegaskan pengeluar China tidak akan diberikan layanan istimewa, termasuk perubahan peraturan teknikal bagi menyesuaikan penyertaan mereka.

Katanya, peraturan sedia ada perlu dikekalkan supaya semua pasukan bersaing berdasarkan ketetapan yang sama.

“Peraturan tidak akan diubah hanya kerana pengeluar dari China. Kita tidak boleh berbuat demikian kerana peraturan perlu kekal stabil,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa BYD pernah ditawarkan pilihan untuk mengambil alih pasukan sedia ada sebagai jalan lebih mudah memasuki F1.

Bagaimanapun, syarikat itu menolak cadangan berkenaan kerana mahu membangunkan pasukannya sendiri dan bukannya meneruskan operasi pasukan lain.

“Saya bertanya, 'Apa kata kamu ambil alih pasukan sedia ada dahulu?' Itu memang kepada BYD, mengapa pula saya perlu merahsiakannya?

“Tetapi mereka menjawab, 'Tidak, kami mahu mempunyai pasukan sendiri',” katanya.

Susulan itu, Ben Sulayem meminta BYD mengemukakan perancangan lebih kukuh sebelum FIA mempertimbangkan kemungkinan membuka proses permohonan penyertaan baharu.

“Kemukakan cadangan serius yang dapat membuktikan kepada kami bahawa perkara ini boleh berjaya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa meskipun China mempunyai pasaran besar, pengeluar automotif yang berminat tetap perlu mematuhi semua syarat ditetapkan FIA.

“Kita mempunyai perlumbaan di China dan pasaran itu sangat besar. Kita juga mempunyai pengeluar kenderaan, malah pernah mempunyai pelumba dari negara itu.

“Teknologi China juga sudah berkembang jauh. Namun, semuanya perlu dilakukan mengikut ketetapan dan peraturan kita yang adil kepada semua pihak kerana itu juga tanggungjawab FIA,” katanya.

Intipati
  • BYD dan Geely sudah menyatakan minat menyertai F1, menurut Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem.
  • FIA tidak mahu menambah pasukan baharu tanpa calon membuktikan kemampuan dan kualiti mereka.
  • Ben Sulayem menegaskan peraturan F1 tidak akan diubah demi penyertaan pengeluar China.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan