Siakap Keli
Gambar via Tribunnews

Lagenda Badminton Indonesia Verawaty Fadjrin Meninggal Dunia Akibat Kanser

JAKARTA, 21 Nov (Bernama) — Legenda badminton Indonesia, Verawaty Fadjrin, meninggal dunia pagi Ahad pada usia 64 tahun selepas beberapa tahun bertarung dengan penyakit kanser paru-paru.

Pengerusi Persatuan Badminton Indonesia Agung Firman Sampurna melahirkan rasa sedih atas pemergian bekas pemain badminton yang hebat itu.

“Beliau merupakan pemain yang banyak menyumbang kepada pencapaian badminton Indonesia di pentas dunia,” katanya seperti dipetik Antara.

Presiden Joko Widodo di akaun Twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Verawaty.

Verawaty, meninggalkan suami Fadjriansyah Bidoein, seorang anak lelaki Fidyan Dini dan dua cucu.

Beliau merangkul gelaran antarabangsa bermula dari akhir 1970-an hingga hujung 1980-an, termasuk Kejohanan Dunia IBF 1980 menewaskan rakan senegara Ivana Lie dan Terbuka Indonesia pada 1982.

Selain itu, beliau juga pernah menjuarai acara beregu wanita di temasya Sukan Asia (1978), All England (1979) dan Sukan Asia Tenggara (1981).

Penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa ialah ketika membantu Indonesia menundukkan Korea Selatan, 3-2 pada gelanggang akhir Piala Sudirman 1989.

Sumber: Bernama

" "