Siakap Keli
Gambar : Lodi Public Library

Betul Ke Pakai Inai Henna Boleh Buat Kulit Berparut Kekal? Ini Yang Korang Kena Tahu

Pemakaian inai atau henna merupakan satu trend yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Kebiasaannya, inai dipakai sebagai hiasan di tangan kaum hawa bagi acara-acara penting, seperti pertunangan, perkahwinan dan sebagainya. Ada juga yang memakainya hanya sekadar suka-suka kerana memiliki corak yang pelbagai.

Di pasaran terkini, sudah banyak warna baharu yang telah dikeluarkan dan ada juga yang berbentuk seperti pelekat mengikut kehendak pelanggan.

Namun, tahukah anda sebenarnya pemakaian inai juga boleh memudaratkan pada kulit anda kerana berkemungkinan akan meninggalkan parut kekal?

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, perkongsian daripada Hello Doktor ada jawapannya.

Tradisi Inai Yang Popular Di Negara Kita

Umum mengetahui, tradisi berinai ini sudah lama diamalkan oleh adat kaum di Malaysia, terutamanya kaum India dan kaum Melayu. Pada zaman nenek moyang kita terdahulu, inai ini merupakan sejenis pewarna semula jadi yang dieskstrak daripada daripada pokok inai.

Di negara kita, inai biasanya digunakan pada kulit, kuku dan rambut sebagai hiasan yang boleh kekal sehingga berminggu-minggu. Pengekstraan warna inai boleh menjadi warna merah, coklat, oren dan hitam jika dicampur dengan bahan-bahan lain.

Gambar : Hello Doktor

Meskipun ia sudah lama menjadi tradisi turun-temurun oleh nenek moyang kita semua, namun masih ada individu yang belum tahu inai mungkin boleh bawa mudarat.Mudarat ini pula akan jauh lebih bahaya lagi jika anda guna henna pada kulit! Kenapa?

Ia mengandungi bahan kimia berbahaya?

Untuk pengetahuan anda, berinai itu mungkin tidak begitu berbahaya jika anda menggunakan inai dengan warna semula jadi seperti warna merah, coklat atau oren.Pun begitu, akan timbul masalah jika inai yang digunakan itu adalah inai hitam atau henna kerana ia mengandungi bahan kimia paraphenylenediamine (PPD).Menurut Pengarah Cosmetic, Toiletry & Perfumery Association (CTPA) Dr Chris Flower, PPD mungkin boleh jadi punca kerengsaan dan keradangan pada kulit.

“PPD itu secara dasarnya adalah selamat dan biasa digunakan di dalam proses pembuatan pewarna solekan. Namun, inai hitam pula adalah sangat tinggi dengan bahan kimia, untuk tujuan memberi warna gelap dengan lebih cepat dan kuat”, jelas beliau lagi.

Disebabkan bahan kimia ini, penggunaan inai hitam pada rambut, kuku dan kulit khususnya adalah sangat tidak digalakkan ekoran ia akan bawa mudarat seperti meninggalkan parut kekal.

Apa kesan negatif inai hitam pada kulit?

Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, bahan kimia PPD boleh jadi punca kemudaratan jika ia digunakan ke atas kulit pada tempoh yang agak lama.

Berikut adalah antara kesan negatif penggunaan henna pada kulit yang sangat bahaya:
Gambar : Hello Doktor

#1. Memanjangkan tempoh inai itu melekat

Penggunaan hiasan inai semula jadi yang berwarna merah, coklat atau oren itu biasanya mungkin akan melekat pada kulit selama beberapa tempoh tertentu sahaja.Pun begitu, sesetengah inai yang berwarna hitam yang dicampur dengan bahan kimia pula boleh melekat lebih lama lantas membuat ia amat sukar dibuang jika tidak lagi perlu.

#2. Menyebabkan reaksi alergi pada kulit

Sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif, maka risiko anda untuk mengalami reaksi alergi pada kulit ini adalah lebih tinggi berbanding kulit yang biasa.Kesan daripada reaksi alergi ini, kulit anda mungkin akan mengalami kemerahan, kegatalan dan ketidakselesaan yang memerlukan rawatan lanjut dengan segera.

#3. Mengakibatkan rasa pedih pada kulit

Paling menakutkan, penggunaan henna secara semberono mungkin akan mengakibatkan rasa pedih akibat kerengsaan dan keradangan pada kulit anda.

Serupa dengan reaksi alergi, kulit anda mungkin akan merah, gatal, tidak selesa dan ditambah pula dengan rasa pedih seakan kulit yang terbakar atau melecur.

Risiko parut kekal tinggi akibat inai hitam!

Selain 3 kesan negatif di atas tadi, wujud juga akibat jangka masa panjang yang sudah pasti mahu dielakkan oleh pengguna henna iaitu wujudnya perut kekal.Ada satu kes yang melibatkan seorang kanak-kanak wanita di mana tangannya mula tumbuh gelembung air selepas terlalu lama menggunakan inai hitam.Akibatnya, gelembung itu terpaksa dibuang melalui pembedahan minor dan ia telah jadi punca parut yang kekal pada kulit tangan kanak-kanak malang itu.Setelah disiasat dengan lebih dalam, dipercayai bahawa henna yang digunakan memang tinggi dengan kandungan PPD dan ditambah pula dengan kondisi kulit sensitif penggunanya itu sendiri.Disebabkan itu, orang ramai telah dinasihatkan untuk tidak menghias kulit dengan henna ekoran bahan kimia berbahaya yang terkandung di dalamnya.

Konklusinya, sila guna henna dengan waspada…

Sebenarnya, mungkin tidak salah untuk anda guna inai pada kulit, kuku atau rambut asalkan ia adalah produk semula jadi dan tidak ditambah bahan kimia lain.Sebaiknya, sila berkomunikasi dan berkonsultasi dengan doktor pakar dermatologi terlebih dahulu sebelum anda membeli atau mengguna sebarang produk inai.

Sumber : Hello Doktor

Fathin Nadzira