Siakap Keli
Kredit: Ricci Orthodontics via Google

Ada Tompok Putih Atau Merah, Ini Tiga Gejala Kanser Mulut Ramai Terlepas Pandang

Penyakit kanser mulut diklasifikasikan sebagai salah satu kes yang merekodkan kadar kematian tertinggi antara semua kanser malignan, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Difahamkan, tiga tanda dan gejala kanser mulut adalah seperti kesan tompok merah atau putih di lelangit, ulser yang tidak diketahui punca melebihi tiga minggu serta benjolan kekal tidak diketahui punca di mulut, bibir atau leher.

Menurut perkongsian di laman Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat enam lokasi tumpuan kewujudan kanser berkenaan iaitu di lidah, bawah lidah atau lantai mulut, bahagian dalam pipi, gusi, bibir bawah dan lelangit.

Dalam pada itu, penyakit kanser mulut juga merupakan kanser ke-21 yang dilapor kerap berlaku dalam kalangan penduduk, menurut statistik National Cancer Registry untuk tempoh 2007 hingga 2011.

Selain itu, kadar peratusan peringkat awal kanser mulut ini adalah sebanyak 34.7 peratus di bibir, 15.2 peratus di lidah serta 14.2 peratus di mulut, manakala peringkat lanjut pula mencatatkan 46.9 peratus di bibir, 60.6 peratus di lidah dan 66.9 peratus di mulut.

Perkongsian KKM juga mencatatkan, kebanyakan penghidap kanser mulut di negara ini adalah daripada kalangan etnik India, manakala Sabah dan Sarawak pula dilapor mempunyai kejadian lesi pra-kanser dan kanser yang tinggi.

Bagaimanapun menurut KKM, pengesanan awal kanser oleh orang awam dapat meningkatkan 80 peratus peluang untuk bertahan lebih lima tahun dan mempunyai prognosis atau jangkaan sembuh yang cerah.

Oleh itu orang awam dinasihatkan untuk kerap melakukan pemeriksaan secara berkala bagi mengelak menjadi mangsa seterusnya bagi kanser mulut ini.

Sumber: KKM

" "