Siakap Keli
Gambar: Bernama

Lebih 75,000 Tan Sampah Dikeluarkan Dari Sungai Klang Sejak 2016

SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) — Sungai Klang yang pernah disenaraikan sebagai antara sungai terkotor di dunia kini berubah secara drastik dan menjadi lebih bersih.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin berkata ini susulan lebih 75,000 tan metrik sampah dikeluarkan dari sungai itu sejak 2016 hingga September lepas menerusi projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), satu inisiatif mega untuk memulihara kira-kira 56 kilometer kawasan sungai tersebut.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus merupakan sampah organik seperti keladi bunting, rumput dan dahan pokok manakala selebihnya bahan bukan organik seperti plastik, tin dan tekstil.

Syaiful Azmen berkata plastik menyumbang 80 peratus daripada sampah bukan organik manakala bakinya termasuk bungkusan makanan dan minuman, aluminium, tin, barangan getah dan tekstil. 

“Sudah tiba masanya untuk nama kita dikeluarkan daripada senarai itu (antara sungai terkotor di dunia) kerana kebanyakan sampah terapung telahpun dikeluarkan dan anda boleh menaiki bot dari Pangkalan Batu ke Pelabuhan Klang tanpa perlu berhenti setiap 500 meter. Sungai ini telah menjadi lebih bersih dan semua orang boleh melihatnya. 

“Dengan pelbagai langkah tambahan bagi memerangkap sampah sebelum memasuki Sungai Klang beserta kaedah memerangkap sampah sedia ada menggunakan tujuh struktur perangkap sampah yang dipasang secara strategik serta dua pemintas oleh The Ocean Cleanup, kami menyasar untuk mengurangkan lagi kadar pengeluaran kepada 900 metrik tan sampah sebulan menjelang penghujung 2022,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 38 lokasi berpotensi di hilir Sungai Klang untuk pemasangan atau penaiktarafan perangkap dan penyaring sampah di anak sungai, longkang monsun dan kunci air yang akan mengekang pengaliran sampah terapung.

Syaiful Azmen berkata menjelang akhir tahun 2022, projek itu juga menyasar untuk mengurangkan jumlah pengeluaran sampah tahunan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah kutipan tahun pertama operasi pada 2016. 

“Menjelang penghujung Disember 2021, pengurangan itu dijangka berada pada kadar 33 peratus,” katanya.

Landasan Lumayan Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besar Selangor (Diperbadankan), diberi mandat menerajui projek SMG iaitu satu usaha pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan lestari Sungai Klang serta kawasan sekitarnya.

Sumber: BERNAMA

" "