Siakap Keli
Gambar Via Google

Seludup Masuk Salinan Drama Squid Game Dari China, Lelaki Korea Utara Dilapor Dijatuhi Hukuman Mati

Seorang lelaki warga Korea Utara yang telah menyeludup salinan drama bersiri popular Korea Selatan, Squid Game dilaporkan telah dijatuhi hukuman mati selepas pihak berkuasa telah menangkap beberapa orang pelajar sekolah yang menonton drama itu.

Memetik laporan portal Variety, drama bersiri itu dipercayai telah diseludup masuk dari China dengan menggunakan pendrive.

Difahamkan, pesalah berdepan hukuman mati dengan cara ditembak oleh skuad tembak negara itu.

“Seorang pelajar yang membeli alat peranti itu menerima hukuman penjara seumur hidup, manakala enam yang lain yang turut menonton drama itu telah dijatuhi hukuman melakukan kerja berat selama lima tahun dan guru serta pentadbir sekolah telah dipecat dan bakal bekerja di lombong terpencil,” lapor agensi berita bebas, Radio Free Asia (RFA).

Kes seludup dan menonton bahan hiburan dari Korea Selatan ini bukan pertama kali berlaku, sebelum ini beberapa orang warga negara itu turut dijatuhi hukuman yang berat.

Untuk pengetahuan, Korea Utara telah meluluskan akta Penghapusan Pemikiran dan Budaya Reactionary yang melarang kemasukan dan penyebaran bahan budaya seperti filem, drama, muzik dan buku di negara itu.

Ia dipercayai dikuatkuasakan dengan tujuan untuk menghalang penyebaran media terutamanya dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Laporan media yang meluas pada April tahun lalu juga mengatakan bahawa seorang lelaki telah dihukum bunuh secara terbuka kerana menjual pendrive dan CD yang mengandungi bahan hiburan dari Korea Selatan.

Sementara itu, orang ramai mula bimbang terhadap nasib pelajar sekolah menengah dan rakyat yang telah terlibat dalam kes tersebut.

Sumber: Variety

Sofea

There's always another side to every story