Siakap Keli

Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Pemenang Kempen “Cashless Boleh”

Putrajaya – Timbalan Menteri Kewangan I, Yang Berhormat Tuan Mohd  Shahar bin Abdullah telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada  pemenang Kempen “Cashless Boleh” dan Sijil Pengiktirafan kepada  Jabatan Imigresen Malaysia bagi pencapaian 100% e-Pembayaran tahun  2021 bertempat di Dewan Auditorium Kementerian Kewangan hari ini. 

Kempen melibatkan sejumlah 14 agensi Kerajaan dan telah berlangsung dari  1 November 2020 hingga 30 Jun 2021. Kempen yang menawarkan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah kepada para pembayar yang membuat  pembayaran menggunakan mana-mana kaedah pembayaran tanpa tunai  sama ada secara kad ATM MyDebit, FPX, JomPAY atau DirectDebit di  agensi-agensi yang mengambil bahagian. Kempen ini bertujuan untuk  memupuk kesedaran dan menggalakkan tabiat e-pembayaran ataupun tanpa  tunai di kalangan orang awam, sebagai kaedah pembayaran utama di negara  kita. Selain itu, kempen ini turut membantu migrasi Agensi Kerajaan  Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan ke arah mencapai kutipan  pembayaran 100% tanpa tunai. 

Timbalan Menteri Kewangan I, Tuan Mohd Shahar bin Abdullah berkata,  inisiatif ini adalah selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital  Malaysia atau MyDigital yang menggariskan pelbagai strategi untuk  memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital yang  berdaya saing termasuklah transformasi kepada “cashless society”. 

Tambahnya, dengan kadar internet penetration setiap isirumah yang kini  melebihi 90% dan dijangka akan terus meningkat dengan pelaksanaan inisiatif  MyJendala, usaha-usaha mendigitaliasikan perkhidmatan Kerajaan serta  pelaksanaan pembayaran secara dalam talian seharusnya seiring dengan  perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta. Agensi-agensi Kerajaan  perlu terus inovatif dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan  menggunakan teknologi yang terkini. 

Susulan daripada kempen ‘Cashless Boleh’ yang memberangsangkan,  PayNet sekali berhasrat untuk menganjurkan edisi baharu kempen ‘Cashless  Boleh’ yang dijangka akan berlangsung selama enam (6) bulan bermula dari Disember 2021 dengan pelbagai hadiah menarik menanti pengguna e pembayaran yang bertuah.

Turut hadir, Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa, Timbalan  Menteri Kewangan II; Puan Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Timbalan Ketua  Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan; Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud, Ketua Pengarah Imigresen, Jabatan  Imigresen Malaysia; Encik Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Setiausaha Bahagian  Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat, Kementerian Kewangan; dan  Encik Firdaus bin Ghani, Pengarah Stakeholders Engagements, PayNet. 

Siti Fatimah