Siakap Keli
Kredit: Sinar Harian

Anak Maut Semasa Dalam Perjalanan Ziarah Ibu Meninggal Dunia

SETIU – Hasrat seorang anak pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk menziarahi ibunya meninggal dunia tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Air Sejuk, hari ini.

Mangsa berusia 23 tahun yang berasal dari Pulau Chondong, Kelantan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kenderaan itu dipandu oleh suami mangsa yang dilaporkan turut cedera dibawa ke Hospital Setiu bagi mendapatkan rawatan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7:15 pagi semasa pasangan suami isteri yang menaiki kenderaan Perodua Kancil itu dalam perjalanan dari Johor ke Kelantan.

Menurut Deputi Superintendan Afandi Hussin, kereta yang dipandu oleh suami mangsa hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan. Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian depan tercampak keluar dari kereta.

“Mangsa cedera parah di kepala dan anggota paramedik yang tiba untuk bantuan kecemasan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. Afandi turut menasihati oran ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya bagi mengelak sebarang kecelakaan yang tidak diingini berlaku terutama sekali dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.

Sumber: Sinar Harian

Aireena Marizan