Siakap Keli
Gambar Via Tengku Zafrul

Akan Dilengkapi Lif Antara Terpantas Di Dunia, Tengku Zafrul Kongsi Gambar Dari Atas Menara Merdeka 118

Sejarah baharu tercipta, Malaysia hari ini menyaksikan penyempurnaan puncak Menara  Merdeka 118 yang sekaligus menandakan bahawa ia menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

Penyempurnaan puncak menara itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan turut dihadiri oleh beberapa barisan menteri termasuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Berkongsikan keterujaan di Facebook, Tengku Zafrul berkata beliau mengambil peluang ke tingkat 116 menara itu untuk meninjau kerja-kerja pembinaan yang hampir siap.

Menurutnya, walaupun sedikit gayat namun pemandangan di tingkat itu sangat mengujakan. Beliau juga turut berkongsikan fakta menarik mengenai menara itu.

“Banyak benda yang menarik mengenai menara ini dan antaranya adalah Merdeka 118 adalah menara tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa.

“Selain itu, Menara ini juga akan dilengkapi dengan sistem lif yang antara terpantas di dunia dan sistem lif yang boleh digunakan semasa kecemasan seperti kebakaran. Jadi tidak perlu menggunakan tangga lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, Presit Merdeka 118 juga akan dilengkapi dengan kemudahan lain seperti Masjid Merdeka, pusat beli belah 118 Mall, kediaman dan pusat penjagaan kanak-kanak. Semua kemudahan itu adalah untuk memastikan komuniti setempat dapat terus diperkasa, terutamanya komuniti perniagaan yang berdekatan.

“InsyaAllah, dalam sedikit masa lagi, Merdeka 118 akan dilancarkan sepenuhnya dan akan memberikan impak langsung postitif kepada rakyat dan ekonomi Malaysia,” ujarnya lagi.

Menara tersebut dijangka sebelum akhir 2022 dan dibuka kepada orang ramai pada awal tahun 2023.

Sumber: Tengku Zafrul

BACA JUGA: Bakal Jadi Bangunan Kedua Tertinggi Di Dunia, Ini Fakta Menara Merdeka 118 Perlu Rakyat Malaysia Tahu

Sofea

There's always another side to every story